
Usaha IVF Berjaya, Fila Amir Umum Kelahiran Anak Sulung Perempuan
PERKONGSIAN menyentuh hati datang daripada pempengaruh dan usahawan terkenal, Fila Amir yang akhirnya menimang cahaya mata perempuan selepas lima tahun menanti zuriat melalui pelbagai usaha termasuk rawatan Persenyawaan In Vitro (IVF).
Menerusi hantaran di laman Instagram, Fila dan suaminya, Muhammad Adama Camara berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik beberapa gambar bersama bayi sulung mereka. Walaupun belum mendedahkan nama anak mereka, pasangan itu melahirkan rasa syukur atas kehadiran cahaya mata yang dinanti-nantikan.
Difahamkan, Fila sebelum ini menjalani beberapa sesi rawatan IVF dan pernah mengalami kegagalan. Lebih menyayat hati, beliau juga perlu menjalani pembedahan membuang tiub fallopio akibat masalah kesihatan yang dialaminya. Namun, pasangan ini tidak pernah berputus asa dan terus berjuang untuk mendapatkan zuriat.
Perjalanan panjang mereka menarik perhatian ramai di media sosial, dengan ribuan ucapan tahniah dan doa daripada rakan artis serta netizen yang mengikuti kisah inspirasi pasangan ini. Mereka juga sering berkongsi detik kehidupan, termasuk pengalaman menetap di Guinea – negara asal suaminya.
Kelahiran anak perempuan ini bukan sahaja menjadi penyeri rumah tangga Fila dan Adama, malah turut menjadi simbol harapan buat pasangan lain yang sedang melalui jalan sukar untuk mendapatkan cahaya mata.
“Akhirnya kami bergelar papa dan mama,” tulis Fila dalam nada penuh emosi dan syukur.