Nasional

Usaha bawa pulang Jho Low masih berterusan

PADA 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho atau Jho Low.

Selepas itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa balik ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal pengurusan dana 1MDB.

Jho Low, 38, dikehendaki bukan sahaja atas beberapa pertuduhan melibatkan penyelewengan dana berkenaan, tetapi turut dikehendaki selaku saksi penting dalam kes perbicaraan melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada awal tahun in (10 Jan), Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan terus mencari Jho Low, biarpun lokasinya sukar dikesan.

Rentetan itu, pada April ahli perniagaan berasal daripada Pulau Pinang itu dikhabarkan berada di beberapa kawasan seperti Hong Kong, Macau, Shanghai, Shenzhen, Beijing dan Hainan di China.

Pada Oktober Jho Low didakwa berada di Amerika Syarikat bagi menghadiri Parti Hollywood.

Namun semua dakwaan itu dinafikan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyatakan Jho Low sebenarnya mendapat perlindungan daripada sebuah negara namun tidak mendedahkan negara itu.

Bulan lepas, Abdul Hamid mendedahkan polis mendapat maklumat terdapat cubaan ahli perniagaan itu untuk membeli harta di Cyprus dengan menggunakan nama individu yang tidak dikenali.

Beliau berkata berkata maklumat itu diperoleh selepas pihaknya menahan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan Jho Low.

Pada September, Abdul Hamid dilapor berkata pihaknya akan berusaha untuk membawa pulang Jho Low selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Polis dalam masa sama, katanya telah bekerjasama rapat dengan Biro Keselamatan Awam China dan Interpol untuk menjejaki Jho Low.

Proses rundingan bagi membawa ahli perniagaan itu pulang masih berjalan dengan pihak berkuasa negara yang dikatakan memberikan perlindungan kepada lelaki itu.

Pada 18 Okt, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mengesahkan penglibatan Jho Low dalam penyelewengan dana 1MDB namun nilai sebenar tidak dapat disahkan selagi dia tidak ditahan.- BERNAMA

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button