Nasional

Imigresen guna formula baharu tukar syif

JABATAN Imigresen (JIM) akan menggunakan formula baharu pertukaran syif bagi memastikan semua kaunter di pintu keluar masuk di Tambak Johor dan Gelang Patah dibuka pada waktu puncak.

Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh berkata, pelaksanaan formula baharu itu amat penting dalam memastikan tiada kesesakan pada waktu puncak kerana tiada kakitangan di kaunter akibat pertukaran syif pekerja.

“Isu berbangkit di dua pintu masuk laluan darat membabitkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah adalah isu pertukaran syif kakitangan imigresen pada 7 pagi.

“Ia dibangkitkan oleh Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menerusi beberapa tinjauan bersama JIM,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, waktu puncak di dua pintu masuk laluan darat itu bermula pukul 5 hingga 8 pagi dan pertukaran syif pada pukul 7 pagi mampu merencatkan operasi kaunter sekali gus menyebabkan kesesakan.

“Oleh itu, JIM sedang meneliti formula baharu pertukaran syif pukul 7 pagi ini termasuk memperkenalkan formula baharu syif ditukar di luar waktu puncak. Insya-Allah, formula baharu ini akan diumumkan minggu depan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Ruslin berkata, CIQ BSI kekurangan hampir 300 kakitangan bagi membolehkan JIM melaksanakan pembukaan semua 284 kaunter secara maksimum pada waktu puncak.

Ketika ini, katanya, CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan imigresen berbanding 1,347 orang yang diperlukan.

Beliau berkata, JIM akan menempatkan 100 lagi kakitangan baharu di CIQ BSI akhir bulan ini, selepas 231 rekrut tamat latihan pada 20 Mei ini. – SM

 

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button