BeritaNasional

Islam larang ambil gambar di kubur

PERBUATAN mengambil gambar perkahwinan atau sebagainya di perkuburan orang Kristian dengan alasan suka-suka dan ingin melakukan kelainan adalah tidak dibenarkan dalam Islam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan tersebut jelas bercanggah dengan nas yang memerintahkan manusia untuk menghormati perkuburan dan mayat sekalipun mereka terdiri daripada masyarakat bukan Islam.

Ini berdasarkan firman Allah SWT  dalam surah Al-Isra’ : 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam..”

Jangan kerana inginkan kelainan menyebabkan kita melakukan perkara yang boleh mengundang fitnah dan cerca orang lain.

Hakikatnya, tujuan menziarahi kubur bukan untuk bersuka ria atau berseronok akan tetapi ia sepatutnya mengingatkan kita kepada alam kematian dan akhirat yang bakal tiba.

Justeru, perbuatan mengambil gambar perkahwinan di atas perkuburan bukan Muslim dengan pelbagai gaya adalah satu perbuatan yang boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap mayat-mayat bahkan perbuatan itu boleh menyinggung perasaan waris si mati.

Baru-baru ini tular dalam media sosial menunjukkan sekumpulan perempuan yang berpakaian pengantin lengkap bertudung melakukan penggambaran di tanah perkuburan masyarakat Kristian.

Menurut kenyataan itu lagi, apa sahaja bentuk penghinaan terhadap mayat sama ada perbuatan atau percakapan maka tidak dibenarkan.

Apatah lagi jika mengambil gambar dengan pelbagai gaya yang tidak sepatutnya dilakukan di tanah perkuburan. Ia juga boleh dianggap sebagai satu bentuk penghinaan.

Tambahan pula, apa yang perlu diperhatikan adalah kesan dari setiap perbuatan yang kita lakukan.

Perbuatan tersebut jika dilihat lebih jauh, boleh menimbulkan kemarahan penganut agama Kristian yang akhirnya mereka pula melakukan perkara sama di perkuburan Islam.

(Visited 2,302 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button