Nasional

UPSI tubuh MPP Incorporate didik minda usahawan

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan Majlis Perwakilan Pelajar Incorporate (MPP Inc) bertujuan menjana minda keusahawanan dalam kalangan barisan kepimpinan MPP universiti pendidikan berkenaan.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff meletakkan mockup baju pada papan gimik pelancaran MPP Inc sebagai simbolik perasmian.

Majlis perasmian Kedai MPP Inc disempurnakan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI sempena Majlis Iftar Mahabbah Madani 2023 yang diadakan Isnin lalu.

Prof Md Amin dalam ucapannya antara lain menyatakan penubuhan MPP Inc itu adalah seiring dengan 11 Fokus Pendidikan Tinggi: Harapan & Masa Depan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin iaitu Pemerkasaan Mahasiswa.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menurunkan tandatangan pada papan gimik pelancaran MPP Inc sebagai simbolik perasmian.

Katanya, empat Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Fasa kedua adalah mahasiswa sebagai entiti yang boleh menjana pendapatan dan menjalankan perniagaan.

Justeru, katanya, harapan itu diterjemahkan dengan cara memberikan idea untuk MPP UPSI membuka perniagaan MPP Inc ini.

Kedai MPP Inc, katanya, adalah cetusan idea oleh Penasihat Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2022/2023, Ahmad Rifaie Amin kepada Exco Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Muhammad Idzwan bin Ibrahim dan Patricia Pashella Anak Lampon yang bertujuan untuk menjana sumber pendapatan MPP Sidang 2022/2023 dan memperkenalkan satu identiti MPP dalam universiti.

Exco Ekonomi dan Keusahawanan MPP Sidang 2022/2023 UPSI, Muhammad Idzwan Ibrahim (kanan) dan Patricia Pashella Anak Lampon (kiri) yang menggerakkan MPP Inc.

Beliau berkata MPP Inc menjalankan aktiviti perniagaan iaitu jaringan industri dengan Lightgreen Enterprise sebagai pembekalan atau percetakan baju barang dagangan (merchandise) kepada mahasiswa dan warga UPSI secara terus dengan kilang.

“Jalinan hubungan ini membuka peluang bagi pelaksanaan program pembangunan pelajar, latihan industri pelajar, ceramah peluang kerjaya, kerja perundingan, projek penyelidikan kontrak dan lain-lain yang memberi nilai tambah kepada kerjasama UPSI dan industri.

Kedai MPP Inc akan memulakan perniagaan pada 6 Mei 2023 dan bertapak di Pejabat Majlis Perwakilan Pelajar, Bangunan Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

“Saya berharap semua mahasiswa aktif menyokong usaha yang dilakukan oleh MPP sekali gus memperkukuhkan kewangan MPP Inc”, katanya.

Hadir sama menyaksikan perasmian MPP Inc, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar serta Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Pengarah Program MPP Inc, Muhammad Idzwan Ibrahim berkata, dengan kerjasama Lightgreen Enterprise, MPP Inc juga ditubuhkan untuk membendung berlaku risiko kejadian tidak diingini oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti penipuan (scam).

Antara tempahan baju yang pernah dibuat dengan kerjasama Lightgreen Enterprise.

“Ini adalah salah satu inisiatif yang diambil oleh kami, Exco Ekonomi Dan Keusahawanan MPP Sidang 2022/2023,” katanya selepas MPP Inc dilancarkan.

Seiring dengan tujuan utama penubuhan MPP iaitu menjaga kebajikan mahasiswa UPSI dan menjadi perantara mahasiswa dengan pengurusan atasan, katanya, MPP Inc juga ingin memenuhi kehendak pelajar dari segi kebajikan iaitu memastikan mahasiswa tidak terbabit dalam sindiket penipuan (scammer) dan memudahkan urusan mahasiswa dalam mendapatkan tempahan baju untuk menjayakan pelbagai program. -SM

(Visited 298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button