Pendidikan

UPSI terjemah buku pendidikan luar penulis ternama antarabangsa

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah dengan melancarkan buku Kepimpinan Berkesan Dalam Pemprograman Aktiviti Luar (KBDPAL), terjemahan pertama karya Prof Dr Simon Priest ke dalam Bahasa Melayu, sempena Malaysian Outdoor Recreation and Education Conference (MOREC 2025) baru-baru ini.

Pelancaran yang berlangsung pada 28 April 2025 itu dianjurkan menerusi Akademi Kepimpinan Pengembaraan dan Rekreasi Luar (AURORA) di bawah Pusat Kokurikulum UPSI, seiring tema ‘Eco-Minds: Shaping Tomorrow’s Leaders Through Outdoor Learning’.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, inisiatif penterjemahan ini membuktikan komitmen UPSI dalam memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan dan memperluaskan akses kepada bahan akademik berkualiti tinggi.

“Pelancaran buku ini mencerminkan usaha berterusan UPSI untuk memperkasakan bidang pendidikan luar sebagai satu cabang pendidikan penting dalam membina karakter dan kepimpinan generasi muda.

Menurut beliau, penterjemahan karya bertaraf antarabangsa ke dalam Bahasa Melayu adalah langkah strategik untuk memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu di rantau ini.

“Kita berharap buku ini bukan sahaja menjadi rujukan kepada pelajar UPSI, tetapi juga kepada pendidik, jurulatih rekreasi dan agensi berkaitan di seluruh negara serta Asia Tenggara,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Prof Madya Dr Mazuki Mohd Yassim berkata, AURORA mendapat kebenaran rasmi daripada pakar antarabangsa pendidikan luar, Dr Simon Priest, untuk menterjemahkan karya tersebut bagi kegunaan di rantau Asia Tenggara.

Katanya, pelancaran buku ini selaras dengan usaha memperkasa bidang pendidikan uar sebagai alat pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

Dr Simon Priest adalah tokoh terkemuka dalam bidang pendidikan luar, pernah berkhidmat sebagai Profesor (1986-2018), Executive Director sebuah institut penyelidikan kecemerlangan (1986-1997), Dekan  Pendidikan Profesional (2005-2008), serta memegang jawatan pentadbiran tinggi termasuk Provost, Naib Canselor, dan Penasihat Menteri Pendidikan bagi pembelajaran dalam talian (2016-2018).

“KBDPAL, yang diterbitkan semula oleh AURORA UPSI, adalah buku pertama dalam bidang pendidikan luar yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu.

Menurutnya, buku setebal 134 halaman ini mengandungi teknik dan kaedah kepimpinan berkesan dalam pemprograman aktiviti luar, bertujuan memperkasakan rekreasi luar bukan sahaja sebagai aktiviti riadah, malah sebagai alat pendidikan, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti.

“Buku ini menekankan aspek pelaksanaan aktiviti luar seperti sukan, perdebatan, khidmat komuniti serta kem kepimpinan berupaya membentuk sahsiah, disiplin, daya saing dan kemahiran insaniah pelajar, malah sejajar dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam membangunkan individu seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Selain itu, katanya, buku ini menyoroti cabaran pelaksanaan seperti kekangan sumber, komitmen tenaga pengajar, dan keperluan latihan intensif serta strategi penambahbaikan termasuk perancangan program lebih berfokus, penyediaan dana khas dan kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa serta komuniti.

“Pelancaran KBDPAL sekali gus mengukuhkan komitmen UPSI dalam memperkasa bidang pendidikan luar, menjadikan universiti ini peneraju utama dalam memperluaskan ilmu kepimpinan pengembaraan kepada masyarakat Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button