NasionalNegeri

FKTK UniMAP perkenal STEM di sekolah sekitar Perlis

SEKUMPULAN pensyarah Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turun padang ke sekolah sekitar Perlis bagi memperkenalkan Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program julung kali diadakan ialah dengan memperkenalkan dan memberi informasi yang tepat berkenaan bidang sains dan matematik di Sekolah Kebangsaan Bukit Keteri (SKBK), Padang Besar.

Dekan FKTK UniMAP Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, program seperti itu merupakan salah satu sasaran utama fakulti untuk mendekatkan universiti dengan komuniti setempat.

“FKTK mensasarkan setiap program di fakulti mesti mengadakan program bersama komuniti yang boleh menyampaikan pelbagai info yang berkenaan.

“Program seperti ini akan diperbanyakkan lagi bagi memastikan negara kita mencapai sasaran pelajar mengambil aliran berkaitan STEM. Buat masa ini, negara kita hanya mencapai sekitar 20 – 25 peratus pelajar yang mengambil aliran sains,” katanya.

Program yang diadakan itu juga adalah bersempena dengan Karnival Keusahawanan Muda SKBK dengan dirasmikan oleh Guru Besar sekolah itu iaitu Mohd Nasir Mohd Noor.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan Kimia iaitu Prof Madya Dr Ku syahidah Ku Ismail dan Ketua Jabatan Bahan iaitu Dr Mohamad Syahmie Mohamad Rasidie.

Tambah beliau, minat di kalangan pelajar terhadap STEM semakin berkurangan dan kekal menjadi satu isu besar untuk Malaysia menjadi negara maju yang juga memberi kesan kepada unjuran pelajar bidang teknikal di universiti.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kimia, Prof Madya Dr Ku syahidah Ku Ismail program seperti itu akan diteruskan ke sekolah-sekolah sekitar negeri Perlis bagi menimbulkan minat yang mendalam dikalangan murid-murid dalam bidang sains dan matematik selari dengan agenda kemajuan negara dalam memacu kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.

Ujarnya, beliau melihat sendiri keterujaan murid-murid terhadap aktiviti yang diadakan dan mereka juga diberikan hadiah yang menarik dalam setiap aktiviti yang dibuat.

“Pihak FKTK akan cuba membantu untuk menyampaikan info-info berkaitan STEM kepada golongan pelajar sekolah sama ada menengah ataupun rendah dan membuat program susulan dengan pelbagai aktiviti lain agar pelajar ini betul-betul minat dengan bidang STEM dan menjadikan STEM sebagai bidang pilihan,” katanya.

Terdahulu, seramai 15 orang staf UniMAP daripada FKTK UniMAP yang diketuai oleh Pengerusi Kelab Kakitangan FKTK Dr. Noor Hasyierah Mohd Salleh mengadakan sembilan modul aktiviti berteraskan matematik dan sains yang melibatkan lebih 60 orang pelajar merangkumi pelajar darjah satu sehingga darjah enam yang turut disertai 15 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Jaafar Hassan yang berminat untuk menyertai program itu. – SM

(Visited 748 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button