Nasional

UPSI tawar tempat pengajian untuk Shahida – Jaguh Kanu Sukma 2022

Atlet kanu berpotensi negara, Shahida Asyiqin Rusli, boleh menarik nafas lega apabila impiannya untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang Sains Sukan menjadi realiti apabila ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Shahida Asyiqin yang tinggal di Kampung Chendering, Kuala Terengganu, dikunjungi wakil UPSI semalam untuk menyampaikan surat tawaran melanjutkan pengajian ke program Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan (program Laluan Khas Atlet).

Dr. Jaffry Zakaria (tengah) menyerahkan Surat Tawaran Pengajian kepada Shahida Asyiqin sambil disaksikan ibunya.

Surat berkenaan disampaikan oleh Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) UPSI, Dr. Jaffry Zakaria dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSSK, Dr. Nur Haziyanti Mohamad Khalid, ibu Asyiqin serta jurulatih.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin merakamkan ucapan tahniah kepada Shahida Asyiqin dan diharapkan anak muda itu memanfaatkan segala kemudahan dan peluang yang ada di universiti pendidikan tersohor itu.

“UPSI memiliki pensyarah kanu yang berpengalaman luas dan pernah mewakili negara dan Shahida Asyiqin membuat pilihan universiti yang selari dengan impiannya untuk mengembangkan potensi diri,” katanya.

UPSI, katanya, mempertimbangkan mana-mana atlet untuk bersama UPSI bagi mengukuhkan kehebatan mereka dalam sukan dan dalam masa sama meningkatkan tahap akademik untuk masa depan mereka.

Dr. Jaffry Zakaria yang juga bekas atlet kanu negara menyifatkan pemilihan Asyiqin untuk mengikuti pengajian di UPSI adalah pilihan yang tepat kerana UPSI memiliki aset dan prasarana lengkap dan terbaik buat sukan kanu.

Shahida Asyiqin dan ibunya, Robidah Said gembira menerima Surat Tawaran Pengajian daripada UPSI.

“Asyiqin bukan sahaja mampu meneruskan pengajian akademik, malah boleh mengorak langkah ke peringkat penglibatan sukan kanu yang lebih tinggi jika belajar di UPSI.

Menurut beliau lagi, program Laluan Khas Atlet di UPSI bukan sekadar untuk melahirkan atlet, malah menyediakan sistem sokongan yang menyeluruh kepada atlet agar mereka dapat menjalani proses bersukan dan belajar dengan baik.

Sementara itu , Dr. Nur Haziyanti berkata FSSK memberi kemudahan untuk pelajar yang menjalani program Laluan Khas Atlet mengikuti jadual kuliah 10.00 pagi hingga 4.00 petang pada hari Isnin hingga Jumaat bagi memberi peluang atlet menjalani latihan sukan secara berstuktur di luar waktu kuliah, manakala penyampaian kuliah pula menggunakan kaedah hybrid dan Pembelajaran Teradun Gantian.

Katanya, atlet yang perlu menjalani latihan atau yang terlibat dalam kejohanan sukan peringkat tinggi mempunyai waktu pembelajaran yang lebih fleksibel, manakala peluang untuk Graduate On Time (GOT) juga adalah tinggi.

Ibu Asyiqin, Robidah Said,57, bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak UPSI atas keprihatinan terhadap perjuangan atlet sukan seperti anaknya.

“Bapa Asyiqin meninggal dunia lima tahun lalu dan saya berharap agar masa depannya lebih terjamin jika berpeluang menyambung pengajian ke peringakat diploma.

Terdahulu dalam sebuah media tempatan, Asyiqin menyatakan keinginan untuk bersara walaupun sedar peluang untuk mewakili negeri dan negara terutama dalam saingan Sukan Sea adalah cerah.

Namun beliau tidak menolak untuk mengikuti kejohanan di peringkat IPT sekali gus mewakili UPSI dalam sukan kanu.

(Visited 480 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button