BeritaNasionalPendidikan

UPSI sambut 5,714 pelajar pulang ke kampus dalam Aidilfitri, patuh SOP

SEBANYAK 5,714 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan mula pulang ke kampus secara berperingkat-peringkat bermula hari ini sehingga esok, 10 Mei.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff bagaimanapun berkata, pihak pengurusan UPSI tetap mengambil langkah keselamatan dari pelbagai aspek bagi memastikan pelajar dan warga UPSI dalam keadaan selamat daripada sebarang jangkitan Covid-19.

Pelajar membuat pendaftaran sebelum memasuki kolej kediaman di Kampus Sultan Azlan Shah. – GAMBAR IHSAN UPSI

Beliau berkata, penerimaan pelajar yang akan dijalankan selama dua hari disambut dan dipantau oleh pihak pengurusan universiti.

“Ia membabitkan Pusat Kesihatan UPSI, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Pengetua, Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Sekretariat Sukarelawan Siswa (SSS) serta diselia urus Bahagian Keselamatan, Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan (ROSH) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (BHEP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelajar yang terlibat dengan proses Pergerakan Pulang Pelajar Fasa Dua adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda yang ditentukan oleh fakulti masing-masing.

Katanya lagi, kriteria pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus dipilih berdasarkan keperluan program pengajian.

“Malah pelajar diwajibkan menjalani ujian nasal sewaktu proses pendaftaran bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19,” ujar beliau .

Tambah beliau, walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) dikurangkan namun pihak pengurusan universiti masih menitikberatkan proses pergerakan pulang pelajar yang teratur bagi melindungi komuniti sosial agar berada dalam keadaan selamat di sekitar UPSI dan Tanjung Malim.

Pelajar sukarelawan yang bertugas mempermudahkan urusan ibu bapa menghantar anak-anak mereka. – GAMBAR IHSAN UPSI

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin pula berkata, pihaknya akan memastikan Pergerakan Pulang Pelajar Fasa 2 berjalan lancar seperti Pergerakan Pulang Pelajar sebelum ini.

“Pihak universiti mengalu-alukan kepulangan penuntut walaupun tidak semua dapat pulang ke kampus dan diharapkan kepulangan mereka akan memeriahkan kembali suasana kampus yang sekian lama merindui keriuhan Anak Kandung Suluh Budiman,” katanya.

Menurut Norkhalid, proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hybrid dengan pematuhan SOP seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Walau bagaimanapun, katanya, pertemuan sesama pelajar tidak akan seperti dahulu lagi kerana dibatasi oleh SOP bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Kami juga akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan persekitaran kolej dalam keadaan selamat dan kondusif agar pelajar berasa lebih selamat ketika berada di kampus atau di luar kampus di bawah pengawasan Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK),” katanya. – SM

(Visited 339 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button