Nasional

Starlink mulakan perkhidmatan di IPT, sekolah – Fahmi

KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia perkhidmatan Internet, Starlink akan memulakan perkhidmatan di institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah terlebih dahulu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata perkara itu dilaksanakan sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.

“Saya telah menyerahkan Lesen Pemberi Kemudahan dan Perkhidmatan Rangkaian kepada wakil Starlink baru-baru ini, sekali gus membenarkan syarikat itu menyediakan perkhidmatan Internet satelit di Malaysia terutama di kawasan pedalaman,” kata Fahmi menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

Pada 15 Julai, Perdana Menteri berkata kerajaan bercadang menggunakan 40 peranti satelit Starlink di IPT untuk menaik taraf kemudahan capaian Internet agar lebih luas dan pantas di kampus bagi memudahkan proses pembelajaran.

Anwar dilapor berkata perkara itu tercetus hasil persidangan video secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX Elon Musk baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan sedia bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan Internet satelit termasuk Starlink ke arah mencapai 100 peratus akses Internet di kawasan berpenduduk.

Menurutnya ketika ini 97 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia mempunyai akses Internet, manakala baki tiga peratus pula disebabkan isu geografi lokasi seperti kawasan pedalaman atau pulau terpencil yang menjadi cabaran kepada pembinaan rangkaian.

— BERNAMA

(Visited 71 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button