Rencah Hidup

Covid-19 gelombang keempat: Ini pun kerajaan PN gagal tangani

SIAPA dalam kalangan rakyat Malaysia dan pembaca SUARA MERDEKA boleh lupa tarikh 18 Mac 2020, tarikh kerajaan yang mentadbir negara, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) pertama demi mengekang penularan pendemik Covid-19 dalam negara kita.

Sejak itu, PKP dilihat ‘beranak dan beranak’ dengan adanya PKP Bersyarat, PKP Pemulihan dan PKP DiPerketatkan. Semua itu demi membendung penularan Covid-19 dari gelombang satu, dua dan tiga.

Dalam PKP pelbagai, diajar masyarakat kita agar patuh kepada SOP dengan memakai pelitup muka di tempat awam, jaga jarak sekurang-kurangnya satu meter, jaga penjarakan sosial, tak boleh masuk ke pasaraya melebihi had dibenarkan, mengambil suhu dan menggunakan hand sanitizer selain kerap mencuci tangan.

Itu semua SOP yang ditanam dalam benak masyarakat Malaysia agar menjaga keselamatan diri dan duduk di rumah sahaja jika tidak ada urusan penting yang perlu dilakukan di luar.

Tentu kita semua masih ingat, kalau pergi pasar raya untuk beli barangan keperluan seperti barang dapur, hanya KETUA KELUARGA sahaja dibenarkan.

Kemudian, dibenarkan berdua. Begitu juga duduk di dalam kereta, daripada seorang menjadi dua orang dan kelonggaran terus diberi oleh Menteri Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan perbincangan dan persetujuan MKN, dalam kereta, satu famili, sudah boleh empat orang atau lebih (kalau anak ramai).

Rentas daerah, rentas negeri, ini bergantung kepada kelulusan yang diperoleh daripada balai-balai polis. Kecoh juga la apabila mula-mula masyarakat membuat permohonan untuk rentas daerah atau negeri atas pelbagai alasan dan urusan.

Hari ini, ada ENAM alasan, ya, 6 alasan yang diterima untuk dibenarkan rentas negeri sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.

Tetapi sebelum itu, ada yang kurang cerdik apabila surat kebenaran rentas negeri ditayang di media sosial dan disalah gunakan pula. Adoi! Kenapa nak buat perkara macam ini? Jujur dan berlaku jujurlah agar tidak mengundang musibah bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi kepada keluarga terutamanya golongan warga emas atau ibu bapa yang sudah lanjut usia.

Jangan pentingkan diri sendiri, jangan mendabik dada dengan surat kebenaran rentas negeri yang diluluskan jika nawaitu terpesong dan surat di tangan, di salah gunakan.

Enam alasan diterima untuk rentas negeri sehingga selepas Aidilfitri sebenarnya agak ‘melucukan’.

Alasan diterima ialah PEKERJAAN, KECEMASAN, KEMATIAN AHLI KELUARGA TERDEKAT, PERUBATAN, PENDIDIKAN dan PASANGAN JARAK JAUH.

Ya di atas itu adalah enam alasan yang menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, PERGERAKAN pada HUJUNG minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad) TIDAK AKAN DILULUSKAN.

NAMUN INI TIDAK TERMASUK BAGI URUSAN MELIBATKAN KECEMASAN, KEMATIAN dan PASANGAN JARAK JAUH.

Ada kelonggaran lagi diberikan kepada masyarakat kita walaupun pihak berkuasa mahu menunjukkan ketegasan dan dalam masa yang sama, setiap hari, catatan kes Covid-19 tidak turun-turun. Angka lebih 1,000 atau lebih 2,000 kes covid setiap hari.

Macam mana nak turun kalau kelonggaran yang diberikan, terlalu longgar sehinggakan masyarakat kita mengambil kesempatan di atas kelonggaran ini.

Memang kita semua mahu bergerak, mahu membuat urusan tetapi biarlah kita sentiasa beringat untuk tidak mengambil kesempatan yang bukan-bukan ke atas kelonggaran yang kita peroleh.

Pembukaan bazar Ramadan tidak seharusnya dibenarkan kerana tiada kawalan yang dapat dilakukan oleh petugas RELA. Dan semalam, penulis sendiri melihat pengendalian bazar Ramadan yang walaupun tidak ramai peniaga, tetapi kawalan pengunjung memang HAMPIR TIADA.

Apakah yang mampu dilakukan oleh petugas RELA melainkan AMBIL SUHU BADAN dan minta pengunjung membuat imbasan MY SEJAHTERA. Itu sahaja!

Kerajaan PN sebenarnya mempunyai setahun untuk menyelesaikan masalah pendemik Covid-19 di Malaysia tetapi sayang seribu kali sayang, Abah Din selaku Perdana Menteri telah gagal tangani masalah ini.

Ya ada vaksin tetapi kes Covid-19 tetap tinggi dan sekolah-sekolah di Sarawak, semalam, diumumkan tutup kerana pelajar sekolah dijangkiti wabak itu dan ibu bapa juga dijangkiti,

Apa yang kerajaan PN mampu lakukan kalau KPI mereka disandarkan kepada menyelesaikan dahulu Covid-19? Siapa boleh bagi jawapan? Kita kongsi bersama-sama.

jumlah sembuh
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Bukan mahu menunding jari kepada PN tetapi sebagai rakyat marhaen, kita mahu melihat keberkesanan PN menangani Covid-19.

Tidak perlu kita tulis di sini kegagalan PN sebagai pentadbir kerajaan, berkaitan dengan ekonomi dan demokrasi, seperti mana kata Penganalisis Politik, Isham Jalil yang tampil sebagai tetamu LIVE SUARA MERDEKA minggu lepas.

Yang utama sekarang ini ialah gelombang keempat Covid-19 yang melanda dengan virus itu bermutasi. Benar atau tidak? Kita mahu sahaja dengar apa kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Eh! Mana Dr. Hisham sejak dua menjak ini? Hilang, tak nampak bagi kenyataan, catat status Facebook beberapa orang rakan.

Betul juga pertanyaan mereka, ke mahakah Dr. Hisham? Sudah penat atau jemu bagi kenyataan setiap hari secara langsung atau beliau sedang melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia?

Kita hari ini, jagalah kesihatan dan kebersihan diri. Kita sudah tahu SOP, kita sentiasa berhati-hati. Ajal dan maut di tangan Tuhan tetapi sebelum tiba masa kita, kita hidup dan jalani kehidupan dalam norma baharu dan mengharapkan sinar baharu di bumi bertuah ini. – SM

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button