Nasional

Bayar RM30 untuk nikmati 30GB Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih

Selaras dengan langkah strategik di bawah pelaksanaan Kerangka Malaysia MADANI, Kementerian Komunikasi dan Digital merasmikan Prapelancaran Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Setapak.

Pakej prabayar ini menawarkan harga lebih rendah khusus untuk golongan belia, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ujar Menterinya, Fahmi Fadzil, penurunan harga tersebut meliputi langganan pakej prabayar mudah alih yang disediakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.

“Melalui Pakej Perpaduan, golongan yang berkelayakan boleh menikmati 30GB data berkelajuan 3Mbps dengan hanya perlu membayar RM30 dan ianya sah dalam tempoh enam bulan.

“Pengguna juga boleh membuat isian semula dengan hanya membeli pas Internet sekiranya kuota data 30GB
tersebut habis digunakan sebelum tempoh enam bulan,” katanya.

Menyentuh tentang kesalinghubungan digital, sehingga Februari 2023, Parlimen Setiawangsa telah mempunyai 55 stesen pangkalan 5G dan dua daripadanya terletak di PA Desa Rejang.

“Parlimen ini turut mempunyai tiga Pusat Ekonomi Digital (PEDi) masing-masing di PPR Kg. Baru Air Panas, PPR Seri Semarak dan di PA Desa Rejang yang menyediakan pelbagai kursus serta latihan ICT, mengasah kemahiran tentang e-dagang sekali gus membuka peluang menjana pendapatan secara dalam talian.

“Inisiatif yang dilaksanakan oleh KKD dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup dan memastikan kesalinghubungan digital menyeluruh yang digariskan di bawah kerangka Malaysia MADANI dapat dicapai,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih, sila layari laman web rasmi KKD
di https://www.kkd.gov.my

(Visited 279 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button