Rencana

Wartawan wanita hebat pada zamannya

Oleh Chamil Wariya

Allahyarham Roseminah Ahmad yang kembali ke rahmatullah pada petang 5 Jun 2021 adalah seorang wartawan wanita yang terkenal dan mungkin antara yang paling menyerlah pada zamannya.

Saya mula mengenali Allahyarham, yang lebih mesra disapa sebagai Kak Rose, apabila saya menyertai Utusan Melayu sebagai pemberita kadet pada 1 Jun 1971.

Beliau yang menyertai Utusan pada 1968 sudah berstatus pemberita senior dengan akhbar Utusan Malaysia.

Selain Kak Rose, dua orang lagi wartawan wanita di meja berita Utusan Melayu dan Utusan Malaysia yang tidak kurang hebatnya ialah Kak Faridah Idris dan Kak Maimunah Yusof.

Mereka adalah rakan seangkatan yang menyertai Utusan pada tahun yang sama.

Semasa menjadi pemberita, pengkhususan Allahyarham adalah dalam liputan ketenteraan dan pertahanan.

Banyak laporan-laporan eksklusif mengenai kegiatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dilaporkannya, menjadikan Utusan Malaysia sebagai akhbar harian kegemaran “abang-abang askar.”

Dari segi strategi pemasaran sudah tentulah laporan-laporan yang disajikan mengenai pelbagai kegiatan ATM membantu melariskan jualan Utusan Malaysia yang mula diterbitkan pada tahun 1967 itu.

Justeru apabila beliau berumah tangga dengan seorang pegawai tentera darat berpangkat leftenen, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kami di Utusan.

Bagi saya dan kawan-kawan yang baru dalam bidang kewartawanan, karya pemberitaan Allahyarham memang dikagumi.

Secara langsung dan tidak langsung, kami banyak belajar lewat kerja-kerja kewartawanan yang beliau hasilkan, baik berita atau rencana.

Tulisan-tulisan beliau sewaktu mengikuti kursus kewartawanan selama tiga bulan di Berlin Institute of Journalism di Berlin Barat, Republik Persekutuan Jerman menyerlahkan bakat luar biasa beliau sebagai seorang pelapor.

Sudut berita dan rencana yang dizahirkan mengenai kehidupan orang-orang Jerman, yang terbelah dua kepada Jerman Barat yang diperintah secara kapitalis dan Jerman Timur yang diperintah secara komunis dilaporkan dari kaca mata seorang wanita.

Laporan-laporan Kak Rose mengenai masyarakat Jermah itu ternyata amat berbeza dengan laporan-laporan yang ditulis oleh dua orang wartawan kanan Utusan – Zainuddin Maidin dan Subky Latif yang juga pernah mengikuti kursus yang sama sebelum itu.

Semasa di Utusan Malaysia, Kak Rose pernah menjadi penolong ketua pemberita, sebelum dilantik sebagai penolong pengarang sebuah majalah baharu yang diterbitkan oleh Utusan – Selekta Femina.

Pengarang majalah bulanan Wanita yang tinggi edarannya dan berprestij menjadi milik beliau pada tahun 1990an.

Saya mula bekerjasama dengan Allahyarham dalam satu pasukan apabila saya dilantik sebagai ketua bahagian majalah kumpulan Utusan pada 1993.

Wanita adalah salah satu majalah di bawah seliaan saya, selain Mastika, URTV, Al Islam, Kiblat. Selekta Femina, sebuah penerbitan untuk golongan remaja yang tidak mendapat sambutan telah ditutup penerbitannya sewaktu saya menerajui bahagian majalah.

Allahyarham sedikitpun tidak berasa kekok berketuakan saya yang merupakan juniornya dalam dunia kewartawanan.

Sebaliknya yang berasa kekok adalah saya sendiri kerana terpaksa memberi “tugasan dan arahan” kepada senior saya dari masa ke masa.

Tetapi kami dapat bekerjasama dengan baik di bahagian majalah.

Sebagai seorang pengarang majalah Wanita, Allahyarham adalah seorang yang tegas menurut para wartawan yang bekerja di bawahnya.

Apabila Wirda Adnan, salah seorang sidang pengarang majalah Jelita terbitan Berita Publishing dilantik sebagai pengarang baharu majalah Wanita oleh Ketua Pengarang Kumpulan, Johan Jaaffar (kini Tan Sri), Kak Rose dilantik sebagai penolong ketua bahagian majalah.

Secara bersama, kami membidankan kelahiran beberapa majalah baharu yang dirancang oleh Utusan.

Antaranya termasuklah majalah bulanan Mangga, Kawan, Cerdas Pintar, mingguan hiburan Hai dan beberapa yang lain.

Apabila saya dilantik sebagai pengarang pertama majalah mingguan ehwal semasa MASSA, juga terbitan Utusan, Kak Rose menjalankan tugas-tugas sebagai ketua bahagian majalah.

Apabila saya berhijrah ke TV3 pada 17 Ogos 1998, Allahyarham dilantik menggantikan saya untuk menerajui bahagian majalah.

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara di Utusan adalah sebagai pengurus editorial di jabatan pengarang Kumpulan Utusan.

Selepas meninggalkan Utusan pada 2005 pada usia 55 tahun, beliau berkhidmat pula dengan Institut Akhbar Malaysia/Malaysian Press Institute (IAM/MPI) selama dua tahun sebagai pengarahnya sehingga 2007.

Pada 2008, saya pula mengikut jejak Allahyarham berkerja dengan MPI yang telah dinaik taraf sebagai sebuah yayasan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai Timbalan Pengerusi, merangkap ketua pegawai eksekutifnya pada 2008.

Sesungguhnya Allahyarham Roseminah Ahmad adalah seorang wartawan wanita yang hebat pada zamannya.

Ya Allah…. ampunilah dia…. rahmatilah dia dan tempatkanlah rohnya dalam kalangan hamba-hamba Mu yang solehah. Muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah Syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada seluruh ahli keluarganya. Ameen…..

Tulisan dipetik dari VOA Media

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button