Pendidikan

UPSI, KBS kukuh kerjasama perkasakan modal insan bidang Sains Sukan

Tanjung Malim — Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh menganggap pengiktirafan terhadap Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) pada tahun lalu adalah satu pencapaian penting UPSI yang perlu dibanggakan.

Beliau mengadakan lawatan kerja ke UPSI semalam bagi memperkukuhkan hubungan strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan institusi pendidikan tinggi tersebut dalam bidang sains sukan.

Katanya, pengiktirafan tersebut bertujuan untuk membentuk rangkaian berprestasi tinggi di peringkat negeri melalui pembudayaan elemen sains, perubatan, dan inovasi dalam pembangunan bakat atlet negara.

“Hubungan strategik antara KBS dan UPSI penting untuk memastikan ilmu, inovasi, dan bakat dalam bidang sains sukan terus berkembang serta membantu menghasilkan lebih ramai bakat muda yang berprestasi tinggi, ” katanya.

Beliau percaya kerjasama seumpamanya dapat mencipta ekosistem sukan yang lebih progresif, sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi peneraju dalam bidang ini.

Beliiau yang meluangkan masa bersama pelajar Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI semalam melahirkan rasa bertuah kerana dapat memulakan tahun 2025 dengan bertemu pelajar Sains Sukan UPSI untuk bertukar pandangan dan membina hubungan yang lebih erat.

“Sebagai pelajar Sains Sukan, anda adalah pemangkin kepada pembangunan sukan di Malaysia,” katanya.

Katanya, pelajar menjadi individu yang membentuk dasar, mengasuh bakat-bakat baru, dan memastikan industri sukan kita terus kompetitif di peringkat serantau dan antarabangsa

Hannah turut diberi penghormatan merasmikan Star Wellness Hub UPSI dan Pusat Satelit ISN UPSI.

Menurut beliau, Pusat Satelit ISN di UPSI adalah bukti kejayaan integrasi sains dalam pembangunan bakat serta dapat menyediakan khidmat rehabilitasi sukan kepada pelajar dan atlet universiti.

“Penubuhan STAR Wellness Hub adalah satu langkah ke hadapan yang amat membanggakan. Saya berharap lebih banyak IPT lain akan mengambil inspirasi daripada UPSI dalam usaha memperkukuhkan kebajikan pelajar dan atlet mereka,” ujar beliau.

Beliau berharap lebih banyak peluang dan kolaborasi dapat dilakukan antara UPSI dan KBS terhadap pembangunan sukan negara pada masa hadapan.

Sempena lawatan beliau dibawa melawat ke beberapa tempat fasiliti sukan yang terdapat di UPSI antaranya UPSI Sports Bowl, UPSI Sport City, UPSI Adventure Park, Scholar Suites dan UPSI Glamping Park.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff menyambut baik kolaborasi strategik itu dalam memacu kecemerlangan bidang sains sukan.

“Kerjasama dengan KBS melalui inisiatif seperti Pusat Satelit ISN adalah bukti nyata bahawa UPSI komited untuk memperkukuhkan pembangunan bakat dan teknologi dalam sukan.

Beliau berkata lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen KBS dan UPSI dalam mengintegrasikan sains sukan untuk pembangunan bakat muda dan memperkukuhkan peranan Malaysia di pentas sukan antarabangsa.

“UPSI akan sentiasa menyokong usaha ini dengan menyediakan program dan kemudahan terbaik untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang sains sukan.

“UPSI amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif besar ini. Kami yakin dengan adanya kolaborasi yang lebih mantap, Malaysia mampu menjadi pemimpin dalam bidang sains sukan di rantau ini,” kata beliau.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Puan Sri Rohani Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faezal Md Ramli; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Rakan Muda) Jabatan Belia dan Sukan Negara, Syamsul Tahrin Mohd Tahir serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Nor Azah Ahmad Dahalan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button