Sukan

UPSI Juara Sepak Takraw Dragons Cup 2025 di Jerman

Tanjung Malim – Pasukan Sepak Takraw Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengharumkan nama negara apabila muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa Dragons Cup 2025 yang berlangsung di Elmshorn, Jerman pada 14 hingga 15 Jun lalu.

Pasukan yang dianggotai pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan itu menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan, terutama pada perlawanan akhir apabila berjaya menewaskan pasukan tuan rumah dalam kedua-dua kategori berdua dan regu tanpa kalah.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, kejayaan tersebut mencerminkan ketahanan mental dan kemahiran teknikal tinggi para pemain UPSI meskipun berhadapan dengan pasukan yang memiliki kelebihan fizikal dan keunggulan gelanggang sendiri.

Kejohanan yang disertai oleh 17 pasukan dari seluruh Eropah, termasuk dari Perancis, Belgium dan Switzerland, turut menyaksikan UPSI menundukkan juara bertahan dari Universiti Heidelberg dengan keputusan 2–0 dalam pusingan awal. Di pentas akhir, UPSI sekali lagi cemerlang apabila menewaskan kelab tempatan Elmshorn dengan skor 2–0.

Antara pemain yang membawa kejayaan ini ialah:

  • Khairil Adam Kasman
  • Muhammad Harith Danish Suihimi
  • Muhammad Hafizudin Hamizi
  • Fakhruddin Zamri
  • Nur Putra Danial Azlan Noor Azlan

Menambahkan lagi kebanggaan, pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI turut diberi penghormatan mempersembahkan kompang dan tarian tradisional semasa majlis pembukaan kejohanan, sekali gus memperkenalkan budaya Malaysia di pentas antarabangsa.

Selain bertanding, pasukan UPSI juga melaksanakan demonstrasi permainan di University of Hamburg serta mengadakan bengkel di sekolah-sekolah sekitar, termasuk Boje Steffenschule, Anne Frank Schule dan KGSE Schule, dengan bimbingan bahasa oleh Dr. Robe’ah Yusuf dan latihan teknikal oleh jurulatih Mohd Fadzlan Ibrahim Shah.

Menurut Mohd Fadzlan, kemenangan ini adalah hasil latihan intensif dan strategi permainan yang terancang, dan beliau optimis terhadap potensi besar pemain UPSI untuk menembusi pentas antarabangsa lebih luas pada masa depan.

Pegawai pengiring, Dr. Mohd Amir Mohd Zahari, yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Bahasa dan Komunikasi, menyifatkan kemenangan ini sebagai sumber inspirasi kepada atlet muda Malaysia, serta berpotensi membuka jalan ke arah kerjasama sukan antara Malaysia dan Jerman.

Semasa lawatan di Elmshorn, pasukan UPSI turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke Konsulat Malaysia di Jerman serta mengadakan perbincangan kerjasama dua hala bersama pihak pengurusan University of Hamburg.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button