Nasional

UPSI jadi universiti pertama tawar Sarjana Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal)

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang menawarkan program akademik baharu Sarjana Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal) bermula September depan.

Naib Canselor, Prof Dr Md Amin Md Taff menganggap komitmen UPSI itu sebagai langkah tepat dalam mengembangkan program yang berkaitan permasalahan semasa yang melanda masyarakat negara ini.

Beliau menyifatkan program Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal) yang dikendalikan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia itu dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran amalan kaunseling bagi memenuhi keperluan dan permasalahan semasa sekali gus dapat meningkatkan kualiti kesihatan dan kesejahteraan mental masyarakat yang kini dilanda COVID-19.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh berkata ia juga bagi menyahut hasrat Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan universiti ke arah pengantarabangsaan melalui pengiktirafan yang diperoleh dari badan akreditasi negara iaitu Lembaga Kaunselor Malaysia dan badan akreditasi antarabangsa (CACREP).

“Program ini sangat relevan dengan Bidang Keutamaan Ekonomi Negara (NKEA) yang ke-9 iaitu bidang pendidikan yang dapat membantu memacu aktiviti ekonomi yang berpotensi memberi sumbangan secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Selain itu, katanya, program itu dilihat dapat memenuhi bekalan dan permintaan untuk pekerjaan profesional penjagaan kesihatan mental yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan negara membangun.

Menurut Ketua Program Sarjana Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal), Prof. Madya Dr. Samsiah Mohd Jais program akademik itu sudah bertapak dengan kukuh di kebanyakan universiti luar negara, namun belum ada program sebegini di mana-mana universiti awam di Malaysia dan Asia Tenggara.

Justeru, katanya,  UPSI bertindak proaktif menawarkan program berkenaan di peringkat pengajian sarjana  melalui mod kerja kursus.

Beliau berkata selaras dengan Piawaian dan Kelayakan Latihan Kaunselor Dengan Bidang Tumpuan Utama oleh Lembaga Kaunselor Malaysia (2016), program itu bertujuan untuk mempersiapkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan amalan profesional yang diperlukan bagi  menangani pelbagai isu kesihatan mental dalam konteks kaunseling kesihatan mental klinikal.

Kurikulum program Sarjana Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal)  dibentuk berdasarkan Piawaian dan Kelayakan Latihan Kaunselor Dengan Bidang Tumpuan Utama oleh Lembaga Kaunselor Malaysia (2016) dan Council for Accreditation of Counselling and Related Education Programs (CACREP) yang mengintegrasikan antara teori dan latihan secara klinikal dalam seting kuliah (30%), latihan makmal (40%) dan latihan klinikal seting pekerjaan atau industri (30%).

Komponen kursus program meliputi kursus penyelidikan dan kursus teras kaunseling yang berjumlah sebanyak 35 jam kredit. Manakala, kursus pengkhususan dan laporan projek kaunseling kesihatan mental serta  amali klinikal meliputi sebanyak 28 jam kredit.

Selain kursus teras kaunseling, keunikan dan kekuatan program akademik ini adalah kepada empat kursus dari bidang pengkhususan iaitu Kesihatan Mental Dalam Komuniti, Diagnosis Klinikal dan Perancangan Rawatan Dalam Kaunseling Kesihatan Mental, Kaunseling Krisis, Trauma dan Bencana dan Kaunseling Ketagihan dan Psikofarmakologi.

Kesemua kursus pengkhususan ini, bersama kursus amali klinikal (Praktikum dan Internship) dibangunkan untuk memantapkan pengetahuan, kemahiran dan amalan profesional pelajar dari aspek kesihatan mental secara mendalam dan sistematik.

“Jumlah kredit bergraduat program ini adalah sebanyak 63 kredit yang juga melayakkan pelajar untuk memohon dan mendaftar lesen akuan amalan kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia,” katanya.

Program yang ditawarkan itu juga, katanya,  bertepatan dengan keperluan perkhidmatan kaunseling itu sendiri yang sentiasa berkembang seiring dengan perkembangan serta isu semasa di peringkat negara serta global ekoran peristiwa traumatik yang memberi kesan mendalam terhadap kesihatan dan kesejahteran mental manusia.

Bagi calon yang berminat dengan program sarjana Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal), boleh mendaftar menerusi laman sesawang https://postgrad.upsi.edu.my atau pertanyaan lanjut boleh diajukan ke  https://chat.whatsapp.com/K62sEWZUpZnKsYKNTp25da ataupun  emelkan kepada [email protected]. -SM

(Visited 1,544 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button