Nasional

Musim harumanis lagi dua bulan

LAGI dua bulan mangga yang menjadi identiti rakyat negeri Perlis, harumanis sudah boleh dipetik sekaligus menandakan sudah tiba musim harumanis iaitu pada setiap April.

Populariti harumanis bukan sahaja di negeri Perlis bahkan sehingga ke negeri-negeri lain bukan sahaja mengenali buah ‘mahal’ ini tetapi mendapat permintaan yang tinggi daripada penggemar mangga.

Pokok harumanis kini semakin dipenuhi dengan sarung kertas putih yang diguna untuk membalut buah.

Tidak hairanlah ada yang membuat tempahan atau pesanan harumanis melalui perkhidmatan penghantaran. Ini termasuk buah-buah dibalut cantik dan  dimasukkan ke dalam kotak lalu dihantar melalui bas-bas ekspres ke ibu kota atau Lembah Klang.

Sekarang para penanam harumanis sudah mula sibuk membalut buah-buah yang semakin hari, semakin meningkat jumlahnya.

Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang besar seperti anak-anak dan menantu, inilah masanya ahli keluarga bergotong royong membantu melakukan kerja-kerja membalut buah.

Mana yang tidak mempunyai ahli keluarga seperti anak-anak yang dapat membantu, mereka tidak buntu sebaliknya alternative yang ada ialah mengupah pekerja untuk membalut buah-buah harumanis.

Tinjauan SUARA MERDEKA mendapati sana-sini sudah nampak suasana meriah apabila sarung berwarna putih dan coklat bergayutan pada setiap pokok harumanis yang memenuhi bumi Perlis.

Difahamkan, ada penanam yang sudah mula membalut buah sejak 31 Januari lalu dan aktiviti ini semakin giat dijalankan setiap hari.

Wah! Terasa meriah dan seronok melihat baris demi baris pokok harumanis berbuah lebat dan dibalut kemas bagi mengelakkan buah dimakan burung.

MAHSURI MAHMOOD

Salah seorang penanam harumanis, Mahsuri Mahmood, 63, memberitahu, beliau memulakan kerja-kerja membalut buah sejak 4 Februari lalu.

“Alhamdulillah, saya dan suami dibantu oleh anak serta menantu tetapi mereka cuma dapat membantu pada sebelah petang selepas pulang dari kerja,” katanya yang tinggal di Lorong 6, Kampung Wang Besar, Bintong.

Setakat ini, kata Mahsuri, sudah 550 biji buah harumanis dari 45 pokok telahpun dibalut.

“Sebelum buah-buah dibalut kita kena sembur vitamin buah terlebih dahulu bagi memastikan buah-buah ini dapat membesar dengan elok,” katanya sambil menambah, beliau dapat mengutip hasil daripada harumanis sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi penanam harumanis yang ditemui, Saad Talib, 74, berkata, beliau hanya dibantu oleh isterinya untuk melakukan kerja-kerja membalut buah yang ada pada 15 pokok harumanis yang ditanamnya sendiri di Kampung Teluk Jambu, Bintong.

SAAD TALIB membetulkan kedudukan sarung buah harumanis supaya ia dapat membesar dengan sempurna di kebunnya.

“Tahun lepas pengeluaran buah hanya 500 biji dan semuanya saya jual kepada pemborong,” katanya.

Saad berkata, beliau memang tidak menggunakan sebarang racun untuk tanamannya kerana lebih menyukai kaedah dan cara penjagaan yang bebas racun kimia.

Seorang lagi penanam harumanis, Azizan Ahmad, 49, berkata, setiap tahun beliau terpaksa mengupah orang untuk membalut buah di kebunnya yang terletak di Kampung Penghulu Datuk Jaafar di Beseri, Padang Besar.

“Tahun lepas 6,000 biji buah dibalut di mana upahnya 20 sen untuk setiap biji dan 30 sen jika memanjat,” katanya sambil mengharapkan, rezeki tahun ini lebih daripada tahun lepas.

Beliau berkata, kerja-kerja membalut buah bermula semalam (6 Februari ) dan akan berterusan secara berperingkat-peringkat sebelum musim harumanis berakhir. – SM

(Visited 461 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button