Ekonomi

Tiada EBITDA positif, kerugian diunjur cecah RM500 juta

PRASARANA Malaysia Bhd (Prasarana) tidak dapat mencapai sasaran pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif bagi 2021 berikutan jangkaan mengalami kerugian RM200 juta sehingga RM500 juta pada tahun ini.

Bagaimanapun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Muhammad Nizam Alias menegaskan bahawa kerugian itu tidak seburuk yang pernah dialami pada 2018.

Menurutnya, syarikat tersebut telah mencatat kerugian lebih daripada RM200 juta pada separuh pertama 2020.

“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menampung impak tersebut dengan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam kerana pendapatan kami bergantung kepada jumlah penumpang. Buat masa ini, kami telah pun beroperasi pada kapasiti sebanyak 60 peratus dan perlu menggerakkan 40 peratus lagi,” katanya.

Bercakap pada sesi makluman prestasi syarikat pada 2019 dan pencapaian bagi separuh tahun 2020, beliau berkata keadaan masih terkawal sekiranya Prasarana berupaya mencapai angka menyamai paras sebelum berlakunya pandemik COVID 19.

“Namun, saya tidak jangkakan itu dapat dicapai menjelang akhir tahun ini berikutan cabaran ekonomi yang dihadapi sekarang. Tahun 2020 sememangnya amat buruk,” katanya.

Muhammad Nizam berkata, Prasarana juga tidak pasti sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan atau ditamatkan selepas pelaksanaan PKP Pemulihan pada masa ini.

“Ini akan memberi kesan kepada angka (prestasi) kami. Bagaimanapun, kami sedang dalam proses membuat persediaan bagi berdepan senario terburuk dengan angka kerugian sekitar RM200 juta hingga RM500 juta bagi tahun ini,” katanya.

Bagi tempoh berbaki 2020, Prasarana lebih menumpukan aspek kebajikan penumpang selain terus berusaha menyediakan kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Ia juga akan memastikan aspek kebersihan dan keselamatan aset serta kemudahan untuk memutuskan rantaian COVID-19 yang turut mengukuhkan keyakinan orang ramai menggunakan perkhidmatannya, sekali gus meningkatkan aliran penumpang.

Malah, Muhammad Nizam berkata pelbagai promosi telah dilancarkan bagi menarik pengguna termasuk pas perjalanan My30 yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Prasarana mencatatkan perolehan sebanyak RM1.052 bilion pada tahun lepas – meningkat 27 peratus daripada RM827 juta pada 2018 dengan jumlah EBITDA berkurangan kepada RM249 juta daripada RM612 juta manakala kosnya susut kepada RM1.301 bilion daripada RM1.438 bilion.

Bagi separuh pertama 2020, kedua-dua pengendali iaitu Rapid Rail yang mengendalikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) serta monorel dan Rapid Bus yang beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang, telah mengalami penurunan penumpang yang ketara.

Bilangan penumpang Rapid Rail misalnya susut 43.9 peratus kepada 63,239,143 orang berbanding tempoh sama tahun lepas manakala penyusutan tertinggi sebanyak 93.7 peratus telah dicatatkan pada April 2020. – BERNAMA

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button