Banjir

UPSI beri bantuan psikologi kepada mangsa banjir

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam mengambil inisiatif menggerakan Pasukan Bantuan Asas Psikologi (Psychological First Aid, PFA) dalam membantu mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Hulu Langat, Selangor.

Naib Canselor, Prof Dato Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI mempunyai satu pasukan sukarelawan yang tertumpu kepada dua keperluan iaitu Pasukan Psychological First Aid yang menekankan aspek emosi dan psikologi mangsa bagi mencegah simptom-simptom trauma, stres, dan distres yang dialami oleh mangsa bencana.
Pasukan ResQ, katanya, memberi fokus terhadap misi menyelamat mangsa, mengumpul sumbangan dan kerja-kerja pembersihan bagi membantu mangsa bencana.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata inisiatif menggerakan pasukan Bantuan Asas Psikologi adalah tepat pada masanya memandangkan pada minggu pertama mangsa-mangsa sibuk dengan pengurusan dan pembersihan rumah masing-masing serta memastikan keperluan asas diri dipenuhi.
“Maka, bantuan asas psikologi yang disuntikkan pada masa ini dapat memberi harapan dan membantu mangsa yang terlibat dalam pengurusan emosi, stres atau simptom-simptom trauma yang mula mengganggu kefungsian hidupnya,” katanya.

Pasukan Psychological First Aid yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kaunseling Dr Pau Kee, bersama sembilan orang sukarelawan PFA yang terlatih turun ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil di Batu 14, Hulu Langat untuk memberi khidmat bantuan asas psikologi dan melaksanakan aktiviti psikososial bersama kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa.
Beliau berkata kehadiran pasukan PFA bukan sahaja membantu mangsa bencana mengenalpasti keperluan diri, bahkan juga berfokus kepada perasaan, pemikiran dan pengalaman yang dialami yang mungkin mengganggu diri mereka.
“Keperluan mendengar dengan empati dan memberi intervensi segera dapat membantu mereka mempelajari cara mengatasi dengan berkesan bagi mengelak kesan psikologi yang berpanjangan,” katanya.

Ketua Pasukan PFA UPSI merangkap Pengarah Pusat Kaunseling UPSI Dr Pau Kee, berkata trauma adalah respon mangsa terhadap situasi yang berbahaya, mengancam keselamatan diri dan terlampau stres sehingga membawa kepada gangguan emosi.
Sehubungan itu, katanya, terdapat simptom-simptom awal termasuk rasa tidak selamat, takut yang terlampau, rasa buntu, keliru, sedih, bimbang, tidak dapat tidur, mimpi buruk, kesukaran mengingat sesuatu dan sebagainya. Reaksi ini juga berbeza pada setiap orang bergantung kepada tahap daya tahan mangsa tersebut.
Katanya, sekiranya gejala tekanan trauma takut berlarutan lebih daripada satu bulan, maka mangsa berkemungkinan besar akan mengalami tekanan pascatrauma (Post-Traumatic Stress Disorder [PTSD]).
“Projek ini turut melibatkan kerjasama PERKAMA International dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang cakna dengan keperluan psikologi mangsa pasca banjir. Usaha tersebut akan dipergiatkan lagi untuk kawasan-kawasan yang terkesan seperti di Kuala Selangor, Taman Sri Muda Shah Alam, Mentakab Pahang dan sebagainya,” katanya.

Belaiu berharap sukarelawan tidak memandang enteng terhadap keperluan mangsa yang memerlukan bantuan asas psikologi semasa krisis atau bencana.
“Dengan adanya dua pasukan Psychological First Aid Team UPSI dan ResQ Team UPSI, dapat saling melengkapi bagi memenuhi keperluan mangsa bencana.

 

KETERANGAN GAMBAR
Dr Pau Kee (tengah) bersama pasukan sukarelawan PFA yang menyantuni mangsa pasca banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil di Batu 14, Hulu Langat, Selangor.
(Gambar ihsan UPSI)

(Visited 565 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button