Rencah Hidup

UPSI Berduka, Tapi Tetap Gagah — Contoh Universiti Luar Biasa dalam Waktu Sukar

KUALA LUMPUR 17 Jun 2025 — Dalam detik penuh duka menyusuli kemalangan ngeri yang meragut nyawa 15 pelajarnya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membuktikan bahawa universiti bukan sekadar pusat ilmu — tetapi juga nadi kemanusiaan yang hidup.

Diketuai oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, UPSI segera menggerakkan seluruh keupayaan institusinya — dari pasukan pengurusan, staf akademik, sukarelawan pelajar hingga ke perkhidmatan kaunseling — bagi menghulurkan bantuan serta sokongan kepada mangsa, keluarga, dan komuniti.

Wartawan Shahril A. Kadir berkongsi kisah luar biasa di mana hanya dua jam selepas insiden, Dr. Amin bersama pasukannya sudah tiba di hospital di Terengganu, dan kekal bersama keluarga mangsa sehingga urusan pengebumian 15 pelajar selesai. Hingga hari ini, hampir dua minggu selepas tragedi, masih ada petugas UPSI di lapangan meneruskan bantuan — dari logistik hinggalah khidmat psikososial.

Majlis Tahlil & Solidariti: RM1.7 Juta Dikumpul, RM791,000 Telah Disalurkan

Malam semalam, UPSI menganjurkan Majlis Tahlil Perdana bagi memperingati semua mangsa. Dalam semangat solidariti, majlis itu turut berjaya mengumpulkan sumbangan luar biasa berjumlah RM1.7 juta, hasil sumbangan warga universiti dan masyarakat prihatin.

Daripada jumlah tersebut, RM870,000 telah pun dimasukkan ke akaun khas UPSI, manakala bakinya dalam proses saluran oleh para penderma yang komited. Hanya 24 jam selepas majlis selesai, sebanyak RM791,000 telah dan sedang diagihkan kepada pelajar serta waris terlibat.

Lebih mengharukan, pada pagi ini, Majlis Perwakilan Pelajar UPSI telah bertolak ke Besut membawa bantuan tambahan sebanyak RM10,000 untuk diserahkan terus kepada keluarga mangsa.

Satu Institusi, Satu Jiwa

Apa yang dilakukan UPSI bukan hanya reaksi terhadap krisis. Ia adalah refleksi nilai dan integriti — dari pengurusan tertinggi hingga pelajar biasa — dalam menjunjung maruah insani dan semangat kekitaan.

Dari yang hidup hinggalah yang telah tiada, UPSI tidak lepas tangan. Dalam tangis, mereka terus bekerja. Dalam sedih, mereka terus menyantuni. Dan dalam krisis, mereka terus menunjukkan teladan kepimpinan dan ihsan.

Beruntunglah anak-anak kandung Suluh Budiman, yang memiliki sebuah universiti yang bukan sekadar luar biasa — tetapi berhati besar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button