Nasionalpilihan

Belanjawan 2023: Kerajaan sasar 130,000 rakyat keluar dari kemiskinan tegar

Kerajaan beriltizam untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan kira-kira 130,000 rakyat susah tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu
kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.

Menurutnya, sebanyak RM750 juta diperuntukan untuk tahun ini kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.

Jelasnya, beberapa pendekatan baharu akan dilaksana untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu bagi meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar meraih pendapatan.

“Antaranya ialah bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekaligus tetapi secara bulanan dan dipantau sama ada sewa beli kelengkapan atau subsidi penggajian untuk majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja.

“Aktiviti ekonomi disertai hendaklah yang memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agropertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan.

“Program ini menyasarkan untuk peserta meraih pendapatan antara 2,000 hingga 2,500 ringgit dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui
hasil yang diperolehi,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, petang ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan kini membayar bantuan kebajikan bernilai RM2.5 bilion kepada lebih 400,000 penerima.

Justeru beliau menegaskan, data mesti dikemaskinikan dengan segera bagi memastikan tiada lagi yang tercicir daripada menerima bantuan.

Selain itu beliau berkata, kerajaan juga akan melaksanakan pemutihan senarai penerima bantuan bulanan antara Unit Penyelarasan Pelaksana (ICU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah satu pangkalan data.

“Saya menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah telah bersetuju untuk menggunakan sebahagian bayaran hasil petroleum ke Sarawak dan Sabah bagi program pembasmian kemiskinan tegar,” katanya.

Selaras dengan itu kata Anwar, Kementerian Kewangan juga akan memperuntukkan sebahagian daripada Wang Ehsan Kelantan dan Terengganu supaya disalurkan secara langsung khususnya untuk
membantu golongan miskin. – SM

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button