
UPSI akan laksana inisiatif BITARA 2.0, beri impak kepada komuniti lokal dan global
Tanjung Malim , 22 Januari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan terus melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan inisiatif BITARA UPSI 2.0, dalam misinya menjadi universiti peneraju kebitaraan dalam pendidikan di Malaysia dan di peringkat global.
Inisiatif tersebut diumumkan oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, dalam Majlis Aspirasi UPSI 2025 yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Inisiatif BITARA UPSI 2.0 yang akan dilaksanakan setiap hari itu merangkumi lima teras utama iaitu Bakat Unggul, Inovasi & Penyelidikan, Transformasi Teknologi, Adab, Akhlak & Akademik, Revolusi Ekosistem, dan Adaptasi Global, adalah usaha UPSI untuk memantapkan kecemerlangan pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan modal insan yang berdaya saing.
“Bagi memastikan kelestarian universiti, Pelan Strategik UPSI 2026 hingga 2030 akan menjadi peta hala tuju kami, yang akan memacu UPSI ke arah kecemerlangan akademik dan penyelidikan yang lebih tinggi, selaras dengan perkembangan pendidikan global.”
Menurut beliau, inisiatif melalui aspek bakat unggul yang dilaksanakan melalui pelbagai program seperti Latihan AI Berprestasi Tinggi dan Indeks Produktiviti Akademia adalah langkah penting dalam meningkatkan daya saing staf dan pelajar UPSI.
“Kami berusaha untuk memastikan bahawa setiap individu di UPSI diberi peluang untuk mencapai potensi terbaik mereka melalui pelbagai platform dan program yang disediakan.”
Dalam aspek inovasi dan penyelidikan, UPSI akan memperkenalkan beberapa program strategik untuk memacu budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga akademik.
“Melalui penganjuran program UPSI EDU-Innovate 2025, Festival PULARA, Agenda Penyelidikan Inklusiviti (IRA) dikuasakan oleh Centre For Inclusive Research On Community And Disability (CIRCLE) serta penerbitan buku berimpak tinggi, kita akan menggalakkan penghasilan idea inovatif dalam bidang pendidikan dan seni budaya.
Menurut beliau, UPSI akan terus komited untuk memastikan bahawa penyelidikan yang dijalankan tidak hanya memberi manfaat kepada universiti, tetapi juga kepada komuniti dan negara secara keseluruhannya.
“UPSI merancang pelbagai kemudahan menarik program yang memberi impak kepada masyarakat umum sebagai universiti destinasi pelancongan di daerah Muallim, “ katanya.
Sementara itu, dalam usaha untuk memperkukuh Transformasi Teknologi, UPSI memperkenalkan pelan pendigitalan yang komprehensif melalui UPSI Smart Campus dan penubuhan Unit Data Analitik.
“Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, sekali gus menyediakan persekitaran yang lebih efisien dan mesra komuniti, ” katanya.
“Teknologi bukan sahaja memainkan peranan dalam meningkatkan kualiti pendidikan tetapi juga dalam mempercepatkan proses transformasi dalam pengurusan universiti.
Tambah beliau, dalam membentuk sahsiah dan karakter pelajar, aspek Adab, Akhlak dan Akademik dijadikan teras penting dalam inisiatif BITARA UPSI 2.0. yang diperkenalkan itu.
“Melalui program Bina Insan Bitara dan Sistem Pendidikan Fleksibel, kami berusaha melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berakhlak dan bersedia untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.”
UPSI, katanya, tidak hanya berfokus kepada kecemerlangan akademik semata, tetapi kami mahu memastikan bahawa setiap graduan kami keluar dengan membawa nilai-nilai murni dan etika yang tinggi dalam setiap aspek kehidupan mereka.
Bagi memantapkan lagi Revolusi Ekosistem, UPSI turut melancarkan beberapa projek besar, termasuk Green, Sustainable & Smart Campus, yang akan memperkenalkan teknologi mesra alam dan pintar.
“Pembangunan ekosistem kampus yang mampan adalah salah satu komitmen kami dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa untuk semua.
“Kami yakin dengan kemudahan seperti Makerspace@UPSI, 10 buah makmal Artificial intelligence (AI) dan Pusat Kesihatan Baharu, warga kampus akan lebih produktif dan sejahtera, ” katanya.
“Kami mahu menjadikan UPSI sebagai sebuah universiti yang bukan hanya unggul dalam pendidikan, tetapi juga dalam kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar.”
Menurut Md Amin, inisiatif seperti Dual Degree Antarabangsa, Geran Penyelidikan Antarabangsa, dan Penubuhan Akademi Bahasa Antarabangsa akan membuka peluang kepada pelajar dan staf UPSI untuk bekerjasama dengan institusi luar negara.
“Dengan kerjasama antarabangsa dan pengiktirafan global, UPSI akan menjadi pusat kecemerlangan yang mampu melahirkan graduan yang cemerlang dan relevan di peringkat global.”
Prof Datuk Dr. Md Amin menegaskan UPSI bertekad berada di hadapan dalam setiap aspek, menyediakan pendidikan yang terbaik untuk negara dan dunia.”
Selain Prof Md Amin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr, Suriani Abu Bakar serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin turut menyampaikan aspirasi mengikut portfolio masing-masing.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad.