Politik

Terpulang kepada parti – Ku Li

“Saya terpulang kepada parti, tetapi saya sudah tua.”

Kata Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah mengenai masa hadapannya dalam UMNO sebagai wakil rakyat.

Terutama mengenai kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Gua Musang yang beliau tandinginya atas tiket Barisan Nasional (BN) – UMNO lebih 30 tahun.

Persoalan itu dilontar apabila beliau menzahirkan pendirian yang dilihat berbeza berbanding keputusan Majlis Tertinggi UMNO.

Ini termasuklah pendirian mengenai sokongan terhadap Belanjawan 2021 dan pertikaian keabsahan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sedangkan umum tahu, UMNO mengambil pendirian untuk meyokong Kerajaan PN bagi menstabilkan politik negara sehinggalah Pilihan Raya Umum diadakan.

“Saya terpulang kepada parti, tetapi saya sudah tua, saya sedar dan saya telah buat apa yang patut dilakukan semasa saya berkhidmat daripada dahulu.

“Saya tak ada niat hendak jadi apa-apa, apabila saya menyertai politik dalam UMNO terutama sekali, tiada saya letak syarat hendak jadi itu dan ini, tidak ada.

“Apa yang diberi tanggungjawab oleh pemimpin, saya pikul setakat yang saya mampu.”

Demikian ulasan diberikan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li dalam satu temubual khas bersama wartawan Suara Merdeka di pejabatnya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pendirian yang dizahirkannya itu sebagai tidak salah kerana berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan parti.

Hal demikian termasuklah kehadirannya bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu sidang akhbar yang diadakan kedua-dua sosok pemimpin itu.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan menerima isyarat marah daripada pimpinan dan akar umbi UMNO apabila bersama dengan Dr. Mahathir.

“Jadi ada yang pertikai kerana saya dengan Dr. Mahathir dibenar mengadakan sidang akhbar bersama.

“Saya menganggap, tak salah kerana saya menyokong keputusan perhimpunan agong parti, yang telah lulus sebulat suara usul untuk melihat kita tidak menyokong kerajaan pintu belakang.

“Usul yang dibawa ke Parlimen oleh Dr. Mahathir adalah kerana hendak menolak kerajaan pintu belakang yang ada.

“Tetapi kalau saya menyokong tindakan seumpama itu saya rasa tak salah atau tidak bertentangan dengan kehendak parti.

“Tetapi tidak bererti saya ini bersama dengan Dr. Mahathir. Saya bersama dengan beliau atas masalah yang dibangkit olehnya untuk hendak menghasilkan harapan UMNO ramai dalam perhimpunan agung, jadi itu sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, dalam temubual itu juga, Ku Li mengimbau semula peranan UMNO sejak menyertai politik bersama Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau berkata, penyertaannya dalam politik sepenuh hati untuk menyumbang kepada rakyat dan negara serta tidak mengharapkan untuk memegang sebarang jawatan.

“Zaman dahulu pun, saya disuruh berunding soal minyak dan Alhamudulillah tuhan menyertai gerakan itu dan kita dapat balik minyak untuk negara.

“Saya juga diminta untuk ke China untuk memulihkan keadaan hubungan dengan China walaupun tak ada satupun negara di ASEAN ini memulakan hubungan dengan China.

“Saya pergi dan orang marah dekat saya, tetapi Alhamdulillah, kita dapat tamatkan peperangan komunis dalam negara kita.

“Kita dapat bergerak bebas ke sana dan sini, tak lagi berkurung seperti yang kita rasa dahulu. Ini pun satu rahmat yang tuhan berikan dekat kita.

“Jadi, apa juga kerja yang diserahkan kepada saya untuk tubuhkan Bank Islam, Takaful Islam saya telah lakukan setakat yang saya mampu.

“Banyak benda yang saya buat, tetapi itu sama dengan kerjasama rakan-rakan yang lain. Tanpa kerjasama dan nasihat mereka, tak mungkin boleh berjaya.

“Itu kerja saya, sepanjang saya membantu. Saya sebenarnya sudah bersara daripada kerajaan sejak tahun 1987.

“Sejak saya lawan Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO dan saya kalah dengan 43 undi, saya berundur.

“Saya berhenti daripada menteri dan tak terima sebarang jawatan. Jangan kata jawatan dalam parti ataupun kerajaan, saya tak terima menjadi pengarah syarikat-syarikat yang tawar kepada saya sama ada dari sebelah timur ataupun sebelah barat.

“Saya tak terima satu jawatan, termasuklah daripada PN,” ujarnya mengakhiri temubual. – SM

(Visited 444 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button