Bola SepakSukan

Upamecano buat Costa terasa keperitan

DAYOT UPAMECANO menerima pujian daripada pundit BT Sport selepas pemain itu mempamerkan persembahan memukau sewaktu membantu RB Leipzig membenam Atletico Madrid 2-1 pada suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Bek tengah itu salah seorang pemain yang mempamerkan persembahan cemerlang bagi membantu pasukannya mara ke separuh akhir bagi berdepan Paris Saint-Germain (PSG) selepas menewaskan skuad bimbingan Diego Simeone itu.

Kekalahan itu pula amat mengecewakan pasukan Simeone selepas mereka mempamerkan aksi mengagumkan pada pusingan 16 terbaik dengan mengalahkan juara bertahan, Liverpool, dan Diego Costa terpaksa mengharungi satu perlawanan yang memeritkan berdepan pemain berusia 21 tahun, Upamecano yang sentiasa mengawal pergerakannya sepanjang permainan.

Pundit BT Sport, Jermaine Jenas dan Rio Ferdinand memuji bakat yang dimiliki pemain muda Perancis itu selepas kemenangan Leipzig.
“Apabila anda lihat Upamecano berdepan Diego Costa, hari ini, ia kelihatannya tiada guna Costa berada di atas padang,” kata Jenas.

Sewaktu rehat babak pertama, Ferdinand berkata, Upamecano mengawal ketat bintang Sepanyol itu yang terpaksa mengharungi hari yang amat mengewakan kerana Atletico tersingkir daripada Liga Juara-Juara.

“Upamecano adalah pemain terbaik, pada malam ini (awal pagi waktu Malaysia), dia benar-benar hebat di atas padang.

“Mereka mempertahankan nyawa mereka. Malah, mereka berjaya menyamai rentak permainan Atletico. Anda perlukan hati serta keinginan dan mereka tunjukkan semua itu terutama pada lewat permainan,” tambah Ferdinand.

Upamecano kini dinilai sebagai salah seorang pertahanan muda terbaik dalam dunia bola sepak.

Beberapa pasukan ada dikaitkan dengan pemain tersebut, baru-baru ini, tetapi anak muda berusia 21 tahun itu komited untuk meneruskan masa depannya bersama Leipzig dengan menyambung kontrak sehingga 2023.

“Kelihatannya seperti dia beraksi dengan sangat mudah dalam perlawanan ini. Dia seolah-olah sedang bermain bersama rakan sepasukannya dan pada masa ini, anda tahu yang anda memiliki seorang pemain yang bagus,” jelas Jenas.

Leipzig mencatat kemenangan hasil jaringan Dani Olmo dan gol pada lewat permainan Tyler Adams.

Mereka bakal beraksi pada separuh akhir menentang PSG dan pengurus, Julian Nagelsmann mengakui dia bakal berdepan ujian getir menjelang pertemuan itu.

“Atletico bertahan dengan baik seperti mana dalam perlawanan-perlawanan lain, tetapi pada pengakhirannya kami beraksi lebih bagus pada suku terakhir permainan yang saya rasakan ia memberi perbezaan pada perlawanan hari ini.

“Kami tidak melakukan banyak percubaan, tetapi lawan juga sama, cuma kami sedikit berbahaya di depan pintu gol. Saya rasa kami layak ke separuh akhir.

“Ia satu perasaan yang hebat, saya sangat banga dengan pasukan, tetapi selaku pengurus anda perlu melihat ke depan untuk perlawanan berikut dan bersedia bagi menghadapi pencabar selepas ini.

“Saya rasa kami perlu pantas untuk mengawal benteng kami, tetapi seperti yang anda lihat, Upamecano amat laju dan kami boleh bertahan dengan baik. Untuk berdepan satu lawan satu bukan mudah kerana mereka memiliki begitu ramai bintang, tetapi kami akan cuba mencari jalan ke final,” katanya. – Daily Mail UK – SM

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button