Ekonomi

UOB kurangkan waktu operasi cawangan dalam zon merah

UNITED Overseas Bank (UOB) mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan operasi perbankan di cawangannya yang terletak dalam zon merah Koronavirus (Covid-19).

Oleh demikian, sebanyak enam cawangannya di Klang, Alor Setar, Sungai Petani, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tuaran akan mengalami perubahan waktu operasi dipendekkan.

Waktu operasi baharu mereka adalah bermula dari pukul 9.30 pagi hingga pukul 3 petang berbanding sebelum ini sehingga pukul 4.30 petang.

Khidmat perbankan layan diri seperti mesin teler automatik (ATM) dan deposit tunai (CDM) turut mengalami perubahan dan akan mula beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam.

Waktu operasi baharu ini akan berlangsung setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula hari ini sehingga 22 Oktober 2020.

“Untuk memastikan keselamatan kakitangan dan pelanggan, kami mengurangkan waktu operasi untuk beberapa cawangan kami buat masa ini.

“Kami akan terus mengamalkan prosedur operasi standard yang ketat selain memantau semua cawangan lain.

“Dalam usaha menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan kami sambil melindungi kesejahteraan orang ramai.”

Demikian kata UOB Bank menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan terlibat oleh kerajaan.

Langkah tersebut juga diambil sebagai tanda keprihatinan bank untuk menjaga keselamatan pelanggan serta kakitangan dan membendung penularan wabak pandemik Covid-19 yang meningkat.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, jumlah terkini jangkitan Covid-19 masih aktif adalah sebanyak 3,351.

Jumlah tersebut direkodkan selepas berlaku penambahan kes baharu sebanyak 489 orang dijangkiti semalam.

Terdapat lebih 1,600 kes aktif dilaporkan di Kedah, 3,020 di Sabah dan 2,471 di Selagor, sementara jumlah keseluruhan kes positif di seluruh negara adalah sebanyak 13,993 orang. – SM

(Visited 680 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button