Ekonomi

Asia Digital Engineering selesai pemasangan pertama jalur lebar dalam pesawat

INMARSAT, peneraju dunia dalam komunikasi satelit mudah alih global, hari ini mengumumkan pemasangan pertama jalur lebar dalam pesawat iaitu GX Aviation oleh Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat milik penuh AirAsia Group dan penyedia perkhidmatan kejuruteraan terkemuka di Asia Tenggara.

Pemasangan tersebut diselesaikan dalam pesawat AirAsia jenis Airbus A320 dan menandakan kejayaan penting ADE dalam usahanya untuk menjadi rakan kongsi pilihan bagi pemasangan GX Aviation untuk semua syarikat penerbangan di Asia Tenggara, bermula dengan AirAsia Group. ADE berhasrat untuk menjadi pusat sehenti bagi syarikat penerbangan yang ingin mengendalikan pesawat dengan jalur lebar, menerusi kepakaran luasnya dalam kejuruteraan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dengan kerjasama Inmarsat, peneraju penyelesaian jalur lebar di pasaran.

ADE ditubuhkan pada September 2020 selepas AirAsia Group menyatukan aset kejuruteraan dan MRO untuk menyediakan pusat perkhidmatan sokongan yang bukan sahaja untuk pesawatnya malah untuk syarikat penerbangan komersial lain di rantau ini. Dengan tumpuan unik pada data dan teknologi, ADE telah berjaya memanfaatkan dan terus membina pengalaman selama 19 tahun dalam mengendalikan dan menyelenggara pesawat AirAsia Group yang terdiri daripada lebih 250 pesawat jenis Airbus A320 dan A330.

Naib Presiden Jualan Global Inmarsat Aviation, Chris Rogerson berkata: “AirAsia Group adalah pelanggan terbesar untuk penyelesaian jalur lebar GX Aviation kami di rantau Asia Pasifik, dan salah satu yang terbesar di dunia. Kerjasama ini telah mencapai kejayaan besar berdasarkan visi yang dikongsi bersama untuk memanfaatkan peluang yang disediakan oleh platform digital dan sambungan kepada penumpang dalam industri penerbangan, terutamanya dalam pemulihan selepas pandemik ini. Justeru, kami berbesar hati untuk bekerjasama dalam pemasangan GX Aviation untuk AirAsia dan syarikat penerbangan lain di rantau ini, menerusi pengalaman dan kepakaran oleh Inmarsat, ADE dan AirAsia Group secara menyeluruh.”

Ketua Pegawai Asia Digital Engineering, Mahesh Kumar pula berkata: “ADE telah mencapai kemajuan besar sejak penubuhan kami semasa pandemik pada tahun lepas. Kami berbesar hati dengan kejayaan pemasangan GX Aviation pertama kami dan berharap untuk meneruskan pemasangan di seluruh AirAsia Group, dan membawa kepakaran kejuruteraan dan MRO bertaraf dunia kepada syarikat penerbangan lain. Menerusi kerjasama rakan kongsi seperti Inmarsat, kami menjangka ADE akan menjadi peneraju pasaran yang menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi dan nilai terbaik menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.”

ADE, yang berpangkalan di ibu pejabat global AirAsia Group yang dikenali sebagai RedQ di Malaysia, telah menerima kelulusan penyelenggaraan asas daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Direktorat Jenderal Penerbangan Awam Indonesia. Ia juga dijangka akan menerima kelulusan daripada lima pihak berkuasa lain sebelum akhir tahun 2021 dalam usahanya untuk mengembangkan perkhidmatan bagi syarikat penerbangan di seluruh rantau ini.

(Visited 241 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button