MahkamahNasional

Ulat hotel mengaku bersalah sebabkan kematian kenalan

SEORANG lelaki yang bekerja sebagai ulat hotel atau berperanan menempah bilik hotel, mengaku salah di Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian kenalannya dalam pergaduhan di tempat letak kereta di sebuah hotel di Genting Highlands, dua minggu lepas.

Soh Kuang Liang, 38, yang beralamat di Bukit Beruang Utama, Melaka membuat pengakuan itu, direkodkan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan menumbuk kepala mangsa, Har Chee Kong, 67, berkali-kali sehingga menyebabkan kecederaan di kepala.

Kejadian itu berlaku antara jam 4.30 petang hingga 5 petang pada 26 Julai lalu di Tiang E5, B1 Sky Avenue Carpark, Genting Highlands.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Punitha mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai pakaian lokap polis berwarna jingga bagaimanapun tidak diwakili peguam pada prosiding hari ini.

Hakim membenarkan sebutan semula kes pada 18 September ini bagi mendapatkan laporan kimia dan laporan bedah siasat selain tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.

Pada 27 Julai lalu, Ketua Polis Daerah Bentong, Sup Zaiham Mohd Kahar mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki warga emas dalam keadaan terlentang dengan kesan cedera di muka di tempat letak kereta di sebuah hotel di pusat peranginan Genting Highlands.

Pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa terbabit dalam pergaduhan dengan seorang lelaki di lobi hotel sebelum mereka beredar ke tempat letak kereta dan kembali bergaduh.

Punca pergaduhan dipercayai akibat salah faham dan rasa tidak puas hati berhubung penyewaan bilik hotel. – BERNAMA – SM

(Visited 48 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button