Ekonomi

Tidak adil hanya TNB dan Gentari dibenarkan pasang solar di bangunan kerajaan Putrajaya

LANGKAH kerajaan yang hanya menawarkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Gentari dalam pemasangan sistem solar di Putrajaya seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024 disifatkan tidak adil oleh syarikat-syarikat pengendali tenaga boleh baharu (TBB) persendirian.

Menurut mereka, TNB dan Gentari yang merupakan anak syarikat milik penuh Petronas hanya dua entiti daripada ratusan yang menawarkan perkhidmatan sistem solar di negara ini.

Malah menurut sumber industri itu, terdapat syarikat persendirian yang berpengalaman jauh lebih lama dalam industri solar di negara ini berbanding TNB dan Gentar,i termasuk yang mengendalikan ladang solar berkala besar.

Oleh itu, kata mereka, apabila hanya TNB dan Gentari sahaja yang dilibatkan yang menjadikan  Putrajaya sebagai model bandar rendah karbon Malaysia, kerajaan kelihatan tidak berlaku adil kepada syarikat lain.

“Sepatutnya kerajaan mengumumkan tender terbuka kepada semua syarikat terlibat supaya lebih telus dan lebih adi,” kata sumber tersebut.

Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan baru-baru ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam usaha menjadi Putrajaya sebagai model bandar rendah karbon, kKerajaan akan mula memasang panel solar di atap bangunan kerajaan dengan kerjasama TNB dan Gentari selain pentadbiran Persekutuan juga akan mula menggunakan kenderaan elektrik sebagai kenderaan rasmi.

Dalam Belanjawan 2024 itu kerajan turut melanjutkan tempoh tawaran program Net Energy Metering (NEM) sehingga 31 Disember 2024 bagi menggalakkan lebih ramai memasang panel di premis kediaman.

Mengenai NEM, sumber itu berkata, bagi menggalakkan pemasangan solar fotovoltaik (PV), kerajaan patut berikan pelepasan cukai kepada pelanggan domestik yang memasang solar di rumah. 

Ini kerana., untuk sektor komersial dan industri, kerajaan melanjutkan insentif fiskal Green Investment Tax Allowance dan Green Investment Tax Exemption hingga tahun 2025.

Selain itu katanya, TNB juga perlu diwajib menyediakan perkhidmatan potongan bayaran pemasangan solar bagi sektor isi rumah seperti mana yang diberikan kepada sektor komersial dan industri. 

“Jadi pelanggan domestik tidak perlu keluarkan kos permulaan yang tinggi. Tapi hanya dengan membayar  kos tenaga solar yang dijana oleh siatem solar selama tempoh 21 tahun. 

“Bagi isi rumah yang mempunyai bil elektrik yang rendah, kerajaan patut membenarkan isi rumah itu untuk menjual tenaga solar kepada pihak ketiga ( jiran) secara konsep peer to peer. “Pada masa sama kerajaan diminta mengkaji semula had kapasiti pemasangan solar sehingga 85 peratus daripada permintaan maksimum kepada tanpa had bagi membolehkan bangunan yang ada bumbung besar dapat memanfaatkan saiz bumbung mereka bagi menjana lebih banyak  kapasiti solar untuk dijual secara akses pihak ketiga,” katanya.

Selain itu katanya, perlu dipermudahkan kelulusan permohonan kuota NEM oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA)

Katanya, ketika ini, permohonan kuota dari sektor kerajaan perlu menunjukkan bukti sahih bahawa pemohon adalah agensi kerajaan sehingga menyebabkan tempoh permohonan kuota mengambil masa yang lama melebihi empat minggu.

“Sekarang ini syarat kelulusan kuota NEM sangat ketat. Dan syarat kelulusan permohonan perjanjian pembekalan untuk tenaga boleh baharu yang terlalu ketat oleh TNBX.

“Selain daripada itu, bekalan meter solar TNB yang tidak cukup dan tempoh masa pemasangan juga telah menyebabkan kelewatan untuk mengaktifkan sistem solar yang telah siap dipasang oleh APVSP( Authorised PV Service Provider). Kadangkala mengambil masa sehingga tiga bulan. Ini menyebabkan kerugian kepada pihak pengguna.

“Sehingga kini, TNBX pula enggan meluluskan potongan perjanjian pembekalan TBB sekiranya premis pemohon  adalah premis sewaan. TNBX hanya layan pemilik sebenarnya sebagai pemegang kuota NEM.

“Ketika ini, permohonan kuota dari sektor kerajaan perlu menunjukkan bukti sahih bahawa pemohon adalah agensi kerajaan. Sehingga menyebabkan tempoh permohonan kuota mengambil masa yang lama melebihi empat minggu,” katanya.

Pada masa sama katanya, penyertaan syarikat-syarikat besar seperti TNB dan Petronas dalam kapasiti solar NEM di bawah daripada 500kW perlu dihadkan supaya tidak berlaku penindasan ke atas syarikat kecil yang bertaraf perusahaan kecil dan sederhana (PMKS).

“Selain itu kerajaan diminta menyediakan dana mudah cara 15 peratus daripada kos pembangunan projek solar kepada syarikat bumiputra. Jika tiada, syarikat PMKS akan terus menjadi tukang pasang panel solar sahaja sampai bila bila.

“Untuk itu kerajaan perlu umumkan dengan jelas dasar dan garis panduan bagi peer to peer, akses pihak ketiga dan bateri pengstoran tenaga bagi kegunaan sendiri,” katanya.

Pihak industri juga memohon agar Green Tech Financing Scheme yang asal di mana kerajaan menyediakan skim jaminan kredit oleh CGC yang memberikan jaminan 60 peratus atas pinjaman dan dua peratus diskaun keatas kadar faedah pinjaman dikembalikan. 

Skim ini jauh lebih baik dari skim yang melibatkan Dana Jamin sementara skim baru yang melibatkan SJPP masih lagi samar-samar. – SM

(Visited 250 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button