NasionalNegeriUncategorized

UniMAP, Universiti Souphanouvong kerjasama supaya pelajar berani hadap cabaran global

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan bekerjasama dengan Universiti Souphanouvong, Luang Prabang, Laos sebagai langkah untuk menyediakan pelajar yang lebih berani menghadap cabaran global.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP dalam titah berharap semua program dan aktiviti yang dijalankan hasil kerjasama itu nanti, dapat menyokong sasaran pengajian antarabangsa selain menyediakan pelajar dalam mengharungi cabaran global masa kini.

“Kejatuhan ekonomi global dan penstrukturan semula industri menjadi antara sebab perlunya pembangunan profesional yang sentiasa relevan dan penting untuk pembangunan negara,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menyaksikan penyerahan Surat Hasrat (LoI) daripada Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli kepada Presiden Universiti Souphanouvong, Prof Madya Dr Vixay Chansavang di universiti berkenaan.

LoI berkenaan diadakan sempena Program Jelajah Ilmu UniMAP Edisi Ke-16 di Laos mulai 13 hingga 15 September.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, UniMAP juga akan memberi sokongan penuh  dalam membina kerjasama melalui pertukaran ilmu, kepakaran dan teknologi bagi membangunkan warga yang mahir dari segi akademik mahupun profesional.

 

“Universiti ini juga sentiasa bersedia mengambil bahagian dalam program promosi, latihan, serta pembangunan pelajar dan staf tidak kira menerusi bidang apa sekalipun yang dipersetujui dari semasa ke semasa,” titah Baginda.

Titah Baginda, kerjasama dua hala yang boleh dilakukan termasuk dalam penawaran program khidmat masyarakat melalui perkongsian kepakaran dan ilmu yang akan memberi manfaat kepada komuniti di kedua-dua negara. – SM

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button