Nasional

UniMAP terima sumbangan bernilai RM2.1 juta daripada industri

Hubungan akrab Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan industri telah menyumbang kepada penerimaan hadiah oleh universiti daripada industri bernilai RM2.1 juta.

Ia merupakan peralatan industri yang dimanfaatkan oleh pelajar dan staf akademik untuk tujuan pengajaran-pembelajaran dan penyelidikan.

Antara peralatan tersebut ialah CPU Workstation dan Die Attach Machine daripada Inari Amerton Bhd, 2 unit Industrial Scara robot daripada Walta Engineering Sdn. Bhd., 10 unit enjin daripada Modenas Sdn Bhd, Lab Management Software and Hardware daripada Keysight Technologies Malaysia Sdn. Bhd. dan banyak lagi.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan ‘Lawatan Kerja Industri’ bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke Penang Automation Cluster (PAC) dan Walta Engineering Sdn Bhd di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Urusan WCOE Goh Kheng Sneah dan Pengarahnya Thean Lye Ong.

Hadir sama, Penasihat WCOE yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti serta bekas Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Emeritus  Dr. Kamarudin Hussin.

Delegasi dari UniMAP diketuai oleh Naib Canselor, Prof Ir Badlishah Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rizal Arshad.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP, pada tahun yang lalu, tiga CEO Industri telah ditindikkan kepada UniMAP iaitu Lynn Olson (Naib Presiden Intel), Tan Soon Keong (Pengarah Kejuruteraan Infenion) dan Munawir Ab Ghani (Naib Presiden Silterra) bagi program CEO@Faculty, justeru memberi peluang kepada UniMAP untuk lebih akrab dengan industri.

Tambah Raja Muda Perlis lagi, bagi pendanaan dari industri, sebanyak 33 geran industri yang berjumlah RM 4,435,150 telah diperolehi oleh UniMAP dari Funfiek Technology, Tin Solder Technology, Flextronic serta Geran Sepadan MTUN-Industri.

Turut diadakan sempena keberangkatan tersebut ialah pemeteraian majlis ‘Perjanjian Memorandum Persefahaman’ antara Walta Centre of Excellence (WCOE) ditandatangani oleh Goh dan Haas Solutions Sdn. Bhd. yang merupakan salah sebuah syarikat ‘Startup’ yang ditubuhkan oleh UniMAP diwakili oleh Pengarah Urusannya Muhammad Azizi Azizan dan disaksikan oleh baginda berdua. – SM

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button