Nasional

UniMAP sumbang kepada kemakmuran negara

Kesedaran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan dan berteraskan slogan ‘Kejuruteraan dan Teknologi untuk Kemanusiaan, University For Society (U4S)’, UniMAP telah mendekati komuniti dan memanfaatkan hasil penyelidikan dan kepakaran pendidikannya ke arah pembangunan komuniti sejahtera, sekaligus menyumbang kepada kemakmuran negara.

Sejumlah 131 program pemindahan ilmu (knowledge transfer programmes) dan program khidmat komuniti telah dilaksanakan. InsyaAllah usaha UniMAP mendekati komuniti akan terus dimantapkan lagi di masa-masa yang akan datang.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan program siri pertama ‘Woodball Bulanan Antara Ketua Jabatan dan Pengurusan UniMAP’ melibatkan penyertaan seramai 54 orang peserta yang dibahagikan secara rawak kepada 9 kumpulan yang dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) universiti berkenaan di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP Pauh Putra.

Keberangkatan tiba baginda merangkap Tuanku Canselor dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor, Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad serta timbalan-timbalan beliau.

Tujuan penganjuran program ini dianjurkan ialah untuk memantapkan lagi sukan woodball di UniMAP dan negeri Perlis secara amnya terutama sekali dalam persiapan menganjurkan Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) Perlis yang ditunda ke bulan Julai tahun hadapan akibat daripada penularan pandemik wabak Covid-19 yang melanda dunia.

Sementara itu, Badlishah menambah bahawa dalam usaha memastikan UniMAP mempunyai staf yang berkompetensi tinggi, sebanyak 33 program yang melibatkan 1,234 penyertaan berjaya dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan Lestari (LEAD) universiti berkenaan. Program tersebut merangkumi kursus wajib bagi tujuan pengesahan jawatan staf akademik, kursus pembangunan profesionalisma pensyarah serta program perkongsian ilmu dalam mempertingkatkan kompetensi pensyarah khususnya dalam melaksanakan tugasan pembelajaran.

Tambah beliau, bagi staf kumpulan Pengurusan dan Profesional serta staf kumpulan Pelaksana, sebanyak 22 kursus telah dianjurkan oleh Unit Latihan dan Kompetensi yang melibatkan 2,849 bilangan penyertaan. – SM

(Visited 440 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button