BeritaPendidikan

UniMAP nilai semula soalan supaya tidak sentuh sensitiviti kaum

UniMAP meneliti semula penilaian soalan agar tidak terlalu spesifik sehingga menyentuh sensitiviti antara kaum.

“Sekiranya ada soalan berbentuk pendapat, ia tidak akan dimasukkan dalam soalan berbentuk jawapan berpilihan, sebaliknya akan menjurus kepada soalan fakta dan teori sahaja.

“Pihak universiti sentiasa berusaha untuk tidak terbabit sama sekali dengan isu bersifat kontroversi.

“Walaupun begitu, pihak universiti sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan penambahbaikan daripada semua pihak,” kata Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad dalam kenyataan di Kangar.

UniMAP mengakui pihaknya mentafsir di luar konteks dalam isu kertas soalan kursus Hubungan Etnik (UUW235) yang mengaitkan pendakwah dari India, Dr Zakir Naik dan tular baru-baru ini.

Badlishah berkata siasatan dalaman mendapati ada kesilapan oleh pihaknya ketika menterjemah soalan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati terdapat kekhilafan dalam menterjemah perkataan ‘ignorant’ kepada bodoh bagi pilihan jawapan ke-IV soalan 60.

“Bagaimanapun pembinaan soalan subjek UUW235 mengikut prosedur operasi standard (SOP) akademik yang ditetapkan. Semua panel penilai soalan yang dilantik oleh pihak universiti terdiri daripada pelbagai bidang akademik dan kaum,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi menyiasat soalan peperiksaan UniMAP yang mencetuskan kontroversi.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, kementerian mengarahkan siasatan kerana soalan dikemuka itu dianggap sensitif oleh beberapa pihak, disebabkan mempunyai kaitan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pengukuhan Jawi dan Zakir sebagai ikon dunia Islam.

 

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button