Nasional

UniMAP laksana kuliah dalam talian mulai esok hingga 5 April

KANGAR, 15 Mac — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menukar proses pembelajarannya kepada secara dalam talian membabitkan semua penuntut lepasan ijazah dan ijazah sarjana muda mulai esok hingga 5 April susulan penularan COVID-19.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Profesor Dr Mohd Rizal  Arshad  berkata ia adalah bagi menggantikan buat sementara kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka yang dijalankan selama ini.

“Situasi semasa di Malaysia menunjukkan peningkatan penularan COVID-19. Justeru itu, mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan berkaitan perhimpunan yang melibatkan jumlah peserta yang ramai, maka pihak UniMAP mengambil langkah berikut berkaitan aktiviti pengajaran dan pembelajaran,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, pelajar dilarang pulang ke kampung halaman masing-masing dan kekal berada di kawasan kampus (termasuk kolej kediaman) sepanjang tempoh itu.

Katanya jika terdapat keperluan untuk meninggalkan kawasan kampus dan kolej kediaman sepanjang tempoh itu, pelajar diminta memaklumkan serta mendapatkan kebenaran dekan pusat pengajian masing-masing.

Mohd Rizal berkata cuti pertengahan semester kedua yang sepatutnya jatuh pada 30 Mac hingga 6 April akan dianjak ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Beliau berkata Peperiksaan Akhir Semester 2 Sidang Akademik 2019/2020  bagi pelajar diploma, yang sepatutnya diadakan pada 24 Mac hingga 12 April, ditangguh kepada 6 April hingga 26 April.

“Warga UniMAP diingatkan untuk terus mengambil langkah amalan pencegahan terbaik sebagaimana yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Sekiranya mengalami tanda-tanda demam, batuk, selesema dan sukar bernafas, warga UniMAP dinasihat untuk mendapatkan rawatan awal di pusat kesihatan universiti, hospital atau klinik yang berhampiran,” katanya.

Mohd Rizal berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan penularan virus itu serta menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa dan warga UniMAP juga diingatkan supaya mendapatkan berita yang sahih mengenai COVID-19.

 

— BERNAMA

(Visited 246 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button