BeritaNasionalPendidikan

UniMAP komited jaga kebajikan pelajar

UNIVERSITI Malaysia Perlis ( UniMAP) sentiasa komited hal ehwal kebajikan pelajar sekaligus menyahut saranan Menteri Pengajian Tinggi berkaitan ini.

Semenjak 6 Julai 2020 lagi, Insentif Khas Kasih UniMAP telah dilancar dan masih berterusan.

Insentif tersebut bertujuan membantu meringankan beban pelajar dan keluarga khususnya ketika menghadapi pandemik Covid-19.

Sehingga kini, sebanyak RM5.6 juta telah diperuntukkan dengan melibatkan 21,503 orang pelajar yang berkeperluan.


Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, antara bantuan yang terkandung dalam Insentif Khas Kasih UniMAP adalah Menu Keluarga Malaysia (menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 setiap hidangan diperkenalkan di bawah inisiatif Food Basket Siswa/[email protected] Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, ini selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, katanya, UniMAP juga menyediakan Food Bank berbentuk makanan harian dan kering; bantuan kewangan atau atau kepada pelajar yang terputus wang perbelanjaan serta kupon makanan percuma pada musim peperiksaan.

“Juga disediakan peluang pekerjaan kepada pelajar melalui Skim Tabung Dedikasi Diri,” katanya.

Selain itu juga katanya, disediakan Insentif Keusahawanan serta Insentif Inovasi untuk Projek Tahun Akhir Pelajar (FYP).

Tambahnya, harga sewaan premis perniagaan khususnya kepada peniaga makanan di dalam kampus juga dikurangkan.

Ujar beliau, usaha ini akan diperkasakan dengan beberapa jenis inisiatif baharu khusus untuk mengurangkan beban kewangan pelajar ekoran situasi semasa.

Tambah beliau, UniMAP juga sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sebarang cadangan atau perbincangan dari semua pihak demi untuk menjaga kebajikan pelajar dan seterusnya memastikan pelajar dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

“UniMAP turut mengalu-alukan penglibatan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang ingin bersama menyumbang bagi membantu meringankan beban para pelajar yang berkeperluan,” katanya.

Zaliman berkata, pihaknya akan terus memantau situasi semasa agar pelajar sentiasa berada dalam keadaan yang selamat dan kondusif untuk meneruskan pengajian.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan berkata pelajar UniMAP tidak perlu membuat protes jalanan bagi menangani isu berkenaan.

Ujarnya, MPP dan kesatuan pelajar yang lain akan mengambil pendekatan dengan mengadakan perbincangan dengan pengurusan universiti bagi menghadapi isu yang sedang hangat diperkatakan pada masa kini.

“Setakat hari ini, kadar harga makanan di premis universiti masih rendah dan terkawal malah jika ada isu berbangkit, pelajar dialu-alukan untuk membuat aduan kepada MPP supaya ia dapat diatasi,” katanya. – SM

(Visited 60 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button