Pendidikan

UniMAP Guna Teknologi Pengesanan Lokasi Pantau Keselamatan Pelajar Dan Staf

SELEPAS memperkenalkan teknologi koordinat Sistem Kedudukan Global (GPS) bagi merekodkan kehadiran stafnya di kampus, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maju setapak lagi dengan meluaskan capaian teknologi pengesanan lokasi ke seluruh Malaysia bagi memantau keselamatan para pelajar dan staf.
Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, melalui teknologi tersebut, kesemua warga UniMAP boleh mengemaskini kedudukan masing-masing tidak kira di mana mereka berada dan universiti seterusnya boleh membuat analisis data keberadaan staf sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ujar beliau, bagi memastikan tahap keselamatan data peribadi staf dan pelajar, akses kepada analisis data ini hanya terhad kepada beberapa individu sahaja selain paparan koordinat GPS juga tidak akan dipaparkan di skrin telefon pintar staf dan pelajar.


“Sebelum ini, kita telah memperkenalkan teknologi GPS sebagai sebahagian daripada inisiatif mencegah penularan wabak Covid-19 bagi menggantikan kaedah thumb print yang dilihat tidak selamat dan mempunyai risiko penyebaran virus Covid-19 yang lebih tinggi.
“Susulan perbincangan berterusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana UniMAP, kami merasakan perlu untuk memanjangkan inisiatif ini bagi memudahkan pemantauan hampir 15,000 pelajar serta 2,000 warga UniMAP sepanjang tempoh dua minggu ini.
“Bagi staf UniMAP, semua staf perlu log masuk setiap hari bagi tujuan rekod bekerja dari rumah dalam sistem manakala pelajar hanya perlu log masuk dua kali seminggu iaitu pada setiap hari Selasa dan Jumaat,” jelasnya lagi.
Prof. R Badlishah seterusnya berkata, inisiatif terbaru itu adalah susulan situasi terkini wabak Covid-19 yang amat membimbangkan dengan beberapa lokasi telah dikenalpasti sebagai kawasan merah oleh Majlis Keselamatan Negara.


“Melalui teknologi pengesanan lokasi ini kita boleh mengetahui lokasi pelajar yang boleh dipadankan dengan data kawasan-kawasan yang mempunyai kes Covid-19. Ini seterusnya akan memudahkan universiti untuk merangka keperluan-keperluan saringan kesihatan sebaik sahaja pelajar kembali ke kampus selepas tamat tempoh ini.
“Kita semua sedia maklum, virus ini mengambil masa untuk dikesan, justeru dengan persediaan awal seperti ini, diharap ia akan memudahkan UniMAP memantau pelajar dan mengurangkan risiko jangkitan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Digital UniMAP, Prof. Ir. Dr. Anuar Mat Safar berkata, kegunaan data tersebut tidak hanya terhad kepada analisis tersebut sahaja, sebaliknya UniMAP turut memerlukan data tersebut bagi kegunaan akademik juga.
“Kita sendiri tidak tahu sehingga bila PKP ini akan berlangsung, justeru dalam konteks akademik data ini boleh digunakan untuk mengenalpasti kesediaan pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran secara dalam talian sekiranya PKP dilanjutkan.
“Antara yang boleh dikenal pasti adalah capaian internet mengikut lokasi pelajar yang merupakan antara keperluan penting dalam melaksanakan proses pembelajaran secara dalam talian ini,” ujarnya.

(Visited 229 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button