BeritaPendidikan

18 graduan MAIPs dijamin pekerjaan

Sebanyak 18 orang graduan tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diberi jaminan penempatan pekerjaan dalam industri teknikal dan vokasional di Pulau Pinang.

Mereka yang datang dari kalangan keluarga asnaf di negeri Perlis tersebut telah berjaya menamatkan latihan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Perkhidmatan Kejuruteraan Industri Automasi dengan jayanya di Walta Centre of Excellence (WCOE) atas tajaan MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

Empat buah syarikat yang akan disertai mereka adalah Walta Engineering Sdn Bhd, Pentamaster Corporation Bhd, Eeway Precision Machining Sdn Bhd dan Max System Automation Sdn Bhd.

Demikian dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Walta Group, Goh Kheng Sneah di
“Majlis Graduasi Dan Penempatan Pekerjaan Walta Centre of Excellence (WCOE) Kali Pertama” yang disempurnakan perasmiannya oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Plaza WCOE, Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Pengerusi ATAM (MAIPs) Tan Sri Halim Saad, Datuk Seri Dr. Hilmi Haji Yahya, Penasihat WCOE Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Penasihat Pelaburan Khas Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon.

Dalam ucapan alu-aluan Goh memaklumkan bahawa masalah kekurangan pekerja mahir dan isu “mismatch” atau ‘ketidaksepadanan’ di kalangan industri dan universiti telah mencapai tahap yang membimbangkan. Ia bukan sahaja menjadi salah satu faktor utama dalam masalah pengangguran di kalangan graduan, malahan semakin bergantung pada pekerja warga asing. Untuk mengatasi masalah bersama ini, salah satu kaedah penyelesaian adalah melalui “Teaching Factory” yakni ‘Kilang Pembelajaran’ yang terbukti keberkesanannya.

Menurut beliau, pihak WCOE memainkan peranan yang penting untuk mengatasi masalah berkenaan secara bersama. Penubuhan WCOE berhasrat untuk membantu melahirkan lebih ramai pekerja mahir dalam industri automasi dan pemesinan.

Goh juga melihat kerjasama yang utuh antara pihak MAIPs, ATAM MAIPs dan WCOE telah berjaya membantu anak-anak asnaf terpilih di negeri Perlis untuk memperkembangkan kemahiran teknikal dan vokasional serta memupuk jati diri mereka melalui inisiatif ini.

Untuk rekod, Walta Group menyediakan “one stop solution” yang merangkumi 7 buah syarikat yang berasaskan Fabrikasi (Fabrication), Automasi (Automation), Peralatan Standard (Standard Equipment), Produk Perubatan (Medical Product), MMS/Pembangunan Keusahawanan (Entrepreneurship Development) dan TVET/Pembangunan Kemahiran (Skill Development). Walta Group juga berusaha melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan memupuk lebih ramai usahawan.

(Visited 935 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button