Nasional

Unimap capai tingkat kedudukan dalam kelompok universiti terbaik Asia

UNIVERSITI Malaysia Perlis (Unimap) menempa pencapaian dalam Quacquarelli Symonds (QS) apabila berada pada kedudukan ke-207 terbaik di Asia berbanding 211 tahun lalu.

Berdasarkan laporan QS 2021 itu juga, kedudukan tersebut menjadikan Unimap dalam kelompok 31 peratus universiti terbaik di Asia dan 20 universiti terbaik di Malaysia.

Pencapaian tersebut dinilai menerusi data dan prestasi Unimap bagi tahun 2019 dan universiti itu juga optimis untuk menyasarkan prestasi lebih cemerlang pada tahun hadapan.

Ini kerana, dalam tempoh lima tahun pencapaian universiti itu, Unimap berjaya melonjak 14 kedudukan secara keseluruhan.

“Kita menyedari persaingan yang cukup sengit dalam kalangan universiti-universiti terutama universiti yang lebih berpengalaman.

“Namun jika dinilai prestasi Unimap untuk tempoh lima tahun yang lalu, kita telah berjaya melonjak 14 kedudukan keseluruhannya.

“Berdasarkan penilaian tahun 2017, Unimap berada di kedudukan ke 221, manakala berdasarkan aspek peratusan pula, Unimap memperbaiki kedudukan dari kelompok 53 peratus kepada 31 peratus universiti terbaik di Asia.

“Saya percaya pencapaian ini adalah cerminan tahap komitmen dan dedikasi warga kerja universiti dalam meletakkan fokus terhadap hasil produktiviti dalam semua aspek.

“Terutama akademik, penyelidikan dan penerbitan serta pengantarabangsaan.”

Demikian kata Naib Canselornya, Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad, memaklumkan pencapaian Unimap dalam satu kenyataan hari ini.

Penilaian QS Asia Rankings 2021 menilai 650 universiti utama di Asia berdasarkan 11 indikator.

Antaranya seperti reputasi akademik, kebolehpasaran graduan, kualiti penyelidikan, pengantarabangsaan di dalam kampus serta kerjasama dengan institusi antarabangsa di seluruh dunia.

Malah sebelum ini, Unimap berjaya mendapat pengiktirafan lima bintang dalam Penarafan Bintang (QS Stars Rating) bagi kemudahan pembelajaran dalam talian.

Selainturut berjaya tersenarai pada kelompok 800 hingga 1000 universiti terbaik di dunia berdasarkan QS World University Rankings 2021.

Tambah R. Badlishah, berdasarkan pelaporan QS juga, UniMAP berbangga apabila diberi klasifikasi amat tinggi dalam elemen ‘research intensity’ dengan pengiktirafan sebagai universiti ‘specialist’.

Manakala indikator rujukan pelajar fakulti merupakan kekuatan utama bagi UniMAP apabila menduduki kedudukan ke-123 di Asia bagi indikator tersebut.

Sebagai langkah ke hadapan, ujar beliau, Unimpa akan terus berusaha untuk memperkasakan pelajar dengan pelbagai kemahiran penting yang diperlukan.

“Selain itu, Unimap juga akan menetapkan matlamat-matlamat baharu terutama dengan mengambil kira indikator yang masih rendah seperti bilangan sitasi, bilangan staf dengan kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) serta pertukaran pelajar.

“Keterlihatan Unimap dalam QS Asia Rankings ini juga diharap akan membuka ruang untuk universiti menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan strategik dalam kalangan universiti dan industri dunia.

“Yang boleh disifatkan sebagai usaha penanda aras amalan universiti yang telah berjaya,” katanya. – SM

(Visited 616 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka
Back to top button