Jenayahpilihan

Polis berjaya selesaikan lapan kes pecah premis perniagaan

Polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah premis perniagaan di daerah Melaka Tengah apabila seorang lelaki berusia 22 tahun berjaya dicekup pada 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, susulan daripada penahanan suspek polis berjaya menemui beberapa telefon bimbit milik mangsa dan pakaian yang digunakan sewaktu pecah masuk premis di sekitar Kota Laksamana dekat sini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut suspek yang tinggal di kawasan Kota Laksamana juga mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, sejak awal bulan September lalu, polis menerima banyak aduan berkaitan kes jenayah pecah premis perniagaan khususnya di sekitar kawasan Kota Laksamana.

“Premis ini dipecah masuk antara pukul 2.00 hingga 5.00 pagi dengan cara memecah tingkap atau mengumpil pintu belakang.

“Berikutan kejadian yang berlaku hasil, risikan dan maklumat yang dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun pada 25 Oktober lalu,” ujarnya hari ini.

Christopher berkata, suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes curi motosikal dan dadah.

Menurutnya, polis menerima sebanyak enam laporan daripada pemilik premis perniagaan yang dipecah masuk dan kerugian yang dianggarkan sebanyak RM10,000.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pelayan kedai makan kini ditahan reman bermula dari 26 Oktober sehingga 30 Oktober ini.

Jelasnya, kertas siasatan dibuka dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh di penjara selama tempoh sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan. – SM

 

(Visited 30 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button