Nasional

Pemuda UMNO serah memorandum gesa tubuh RCI Tabung Haji

PERGERAKAN Pemuda UMNO menyerahkan memorandum meminta kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu melibatkan Tabung Haji.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Asyraf Wajdi berkata, RCI tersebut boleh menyiasat segala tuduhan salah-laku dan penyelewengan terhadap Kerajaan BN dan PH sehinggalah Kerajaan PN berkaitan Tabung Haji.

“Malah keyakinan dan kepercayaan rakyat dan umat Islam terutamanya para pendeposit boleh dikembalikan apabila bukan sahaja isu-isu lama dapat diselesaikan.

“Malah cadangan-cadangan penambah-baikan digarap sebaiknya oleh pihak RCI yang bakal dibentuk kelak,” kata Asyraf Wajdi.

Beliau berharap Kerajaan mengambil perhatian terhadap memorandum yang dihantar oleh Pergerakan Pemuda UMNO tersebut.

“Mewakili Pemuda UMNO, saya merakamkan penghargaan kepada YB Senator Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli atas masa yang diperuntukkan hampir sejam setengah mendengar penjelasan kami sekaligus menerima Memorandum untuk diangkat kepada YAB Perdana Menteri,” kata Asyraf Wajdi.

Penubuhan RCI Tabung Haji merupakan sebahgian daripada manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagaimanapun janji menubuhkan RCI Tabung Haji itu tidak dilaksanakan sepanjang pentabiran Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan.

Pemuda UMNO kira-kira tiga minggu lalu sudah membangkitkan isu ini dengan menggesa agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH.

Ini kerana, walaupun PN tidak pernah berjanji untuk menubuhkan RCI mengenai TH, namun rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

“Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH yang sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuklah ura-ura pengurangan subsidi buat jemaah haji atas justifikasi konsep istitoah oleh bekas menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Isu jualan lambak ke atas 76.2 peratus ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit di kalangan umat Islam.

“Ini tidak termasuk aset-aset lain TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH,” kata Asyraf Wajdi. –SM

(Visited 192 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button