MahkamahNasional

Undi18: 18 remaja tarik balik saman

SEKUMPULAN 18 remaja menarik balik saman difailkan terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana enggan melaksanakan pindaan Perlembagaan bagi membenarkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan melaksanakan pendaftaran automatik pengundi.

Keputusan ini dibuat setelah Mahkamah Tinggi Kuching bulan lalu membenarkan semakan kehakiman serupa yang difailkan lima belia dari Sarawak berhubung keengganan kerajaan melaksanakan pindaan Undi18 menjelang Julai.

Dalam notis yang difailkan pada 14 Oktober lalu, 18 individu itu berkata, mereka menarik balik kes itu dengan kebebasan untuk memfailkannya semula.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid dijadualkan membuat keputusan berhubung kes itu pada Khamis ini.

Beliau mendengar hujah daripada peguam 18 remaja itu dan Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mewakili bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada 23 Ogos.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuching Alexander Siew pada 3 September lalu membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu tidak melaksanakan pindaan Undi 18 pada Julai.

“Mahkamah turut mengeluarkan perintah untuk membatalkan keputusan kerajaan persekutuan bahawa pindaan Undi 18 hanya boleh dilaksanakan menjelang September 2022,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Dewan Rakyat pada 23 September lalu bahawa kerajaan akan akur dengan perintah Mahkamah Tinggi Kuching supaya melaksanakan kedua-dua Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik sebelum 31 Dis.

Sebelum ini beliau berkata, SPR bersedia melaksanakan pindaan Undi 18 sahaja sebelum 31 Disember tetapi tidak termasuk pendaftaran automatik.

Beliau turut mengesahkan sebelum 31 Dis 2021, akan ada 5.6 juta pengundi tambahan, dengan 4.4 juta daripadanya berusia 21 tahun ke atas.

Rang Undang-undang Undi 18 diluluskan di Dewan Negara pada Julai 2019 dan diwartakan dua bulan kemudian. Ia menurunkan usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. – FMT –SM

(Visited 194 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button