Ekonomi

UMWT catat jualan 7,509 unit pada Julai, tertinggi tahun ini

UMW Toyota Motor (UMWT), anak syarikat  UMW Holdings Bhd, mencatatkan penjualan sebanyak 7,509 unit kenderaan pada bulan Julai 2020, jumlah tertinggi bagi tahun ini dan 70 peratus lebih tinggi daripada 4,417 unit yang didaftarkan pada bulan Jun.

Dalam satu kenyataan hari ini, UMW berkata peningkatan penjualan pada bulan Julai didorong terutamanya oleh pengecualian cukai penjualan yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember, 2020.

“Toyota Vios terus menjadi model terlaris pada bulan Julai, menyumbang sekitar 34 peratus daripada jumlah penjualannya.  Pada awal Jun, UMWT telah memperkenalkan Toyota RAV4 baru generasi yang kelima, iaitu Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) yang diimport sepenuhnya dari Jepun,” katanya.

Diterajui oleh segmen automotif berikutan penjualan yang memberangsangkan oleh UMWT  dan 38 peratus syarikat sekutunya Perodua pada bulan Julai, UMW berkata ia menjangkakan prestasi kewangan yang lebih baik pada separuh kedua tahun 2020.

Bahagian pasaran automotif kumpulan pada bulan Julai dianggarkan pada 52 peratus, lebih tinggi daripada 51.4 peratus yang dicatatkan pada tahun 2019.

Sementara itu, bagi Perodua, Julai merupakan bulan penjualan tertinggi pada tahun ini, dengan penjualan berdaftar kenderaan sebanyak 23,203 unit, meningkat 9.2 peratus daripada 21,250 unit yang dijual pada bulan Jun.

“Pengeluaran di kedua-dua kilang pemasangan Perodua juga ditingkatkan bagi memenuhi permintaan yang tinggi,” katanya.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Azmin Che Yusoff berkata, UMWT dan Perodua telah menunjukkan tahap pemulihan yang kuat berikutan gangguan penjualan pada awal tahun yang disebabkan oleh Covid-19.

Beliau berkata kumpulan kekal optimis dengan penjualan yang memberangsangkan oleh UMWT dan Perodua pada bulan Julai.

“Kami juga berterima kasih kepada kerajaan dalam memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dan menerapkan pengecualian cukai penjualan untuk meningkatkan industri automotif di Malaysia.  Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kami yakin dapat mencapai sasaran penjualan kami bagi tahun ini,” kata beliau. – BERNAMA

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button