Politik

UMNO tuntut jawatan perdana menteri

Para pemimpin UMNO membuat tuntut supaya jawatan perdana menteri diserahkan kepada parti berkenaan, bagi membolehkan sokongan dikekalkan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jika cadangan itu dipersetujui ini bermakna Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bersara serta mengekalkan kerajaan yang ada dan bukannya meletakkan jawatan menyebabkan kerajaan runtuh.

Nama yang muncul untuk jawatan berkenaan ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan seorang lagi pemimpin berpengaruh UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kini sedang berdepan dengan kes mahkamah.

Keputusan para pemimpin UMNO membuat pusingan U itu adalah bagi mengelakkan daripada kerajaan diterajui kembali oleh DAP dan PKR menyebabkan terbentuk kerajaan yang didominasi oleh bukan Melayu.

Pada perhimpunan agung UMNO yang lalu juga turut dibangkitkan kestabilan politik hanya akan dicapai apabila jawatan perdana menteri diserahkan kepada parti berkenaan yang merupakan parti yang mempunyai jumlah ahli parlimen terbesar dan bukannya dipegang oleh pemimpin Bersatu.

UMNO berpandangan kerajaan ditunjangi oleh parti minoriti sering membuat langkah yang merugikan UMNO yang merupakan parti orang Melayu yang terbesar.

Justeru mereka bimbang kepentingan orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk negara ini terjejas sebagaimana ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan.

Jika cadangan itu diterima, timbalan perdana menteri ialah dari Bersatu dan nama yang disebut ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Perdana Menteri sebelum ini menawarkan cadangan kerajaan rentas parti merangkumi tujuh tawaran iaitu antaranya menggubal undang-undang anti-lompat parti, pengundi berusia 18 tahun dibenarkan dan mengehadkan tempoh dua penggal jawatan perdana menteri.

Tawaran yang baik itu bagaimanapun ditolak oleh para pemimpih PH kerana mereka melihat Muhyiddin dapat ditumbangkan dan sudah tidak relevan.

 

 

 

(Visited 671 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button