Politik
Trending

UMNO tidak pernah berlebihan dalam apa juga tuntutan

Menjawab Tun Hamid Mohamad

Oleh MOHAMED KHALED NORDIN

TUN Hamid wajarlah memahami perspektif kenapa UMNO merasakan bahawa ia tidak mendapat agihan kerusi dengan adil.

Pertama, UMNO dari awal telah menuntut agar parlimen segera dibubarkan untuk memberi laluan kepada satu pilihan raya.

UMNO hanya menukar pendiriannya setelah kedudukan politik Malaysia terus berkonflik kerana tindakan Tun Mahathir.

Demi menyelesaikan kemelut tersebut, UMNO dan Pas memilih untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin semata-mata atas kepentingan nasional.

Tanpa UMNO dan Pas, Tan Sri Muhyiddin tidak dapat membentuk kerajaan. Justeru UMNO adalah pendiri bersama kerajaan Perikatan Nasional dan bukan penumpang.

Kerana itu UMNO merasakan wajar untuk ia mendapat keadilan melalui tuntutan ‘proportionate’.

Kedua, UMNO ini parti politik. Ia bukan ‘subornidate’ kepada PPBM atau Tan Sri Muhyiddin.

Ia tahu bagaimana beroperasi sebagai sebuah parti politik. Kami tahu apa tuntutan yang sesuai dengan sumbangan kami dalam membentuk kerajaan dan kenapa kami menuntut perwakilan yang ‘proportionate’.

Kami mewakili kepentingan terbesar bangsa Melayu. Bukan blok Azmin dan bukan sesiapa.

Janganlah lupa bahawa hampir 35 peratus ahli Parlimen PPBM menang atas tiket UMNO. Dan selainnya adalah mereka yang melompat dari mana-mana untuk mendapat jawatan.

PPBM hanya menang 13 kerusi dalam pilihanraya lepas dengan undi popular yang sangat sedikit. UMNO dan PAS menguasai 70 peratus undi popular Melayu.

UMNO tahu di mana ia berada dalam persada politik Melayu dan Malaysia. Ia adalah dukungan sebenar bangsa melayu dan bukannya PPBM.

Ketiga, kebimbangan Tun Hamid sepatutnya jangan ditujukan kepada UMNO. Ia patut ditujukan kepada kualiti dan wibawa kabinet itu sendiri.

Bila 10 dari Menteri dari blok Azmin adalah mereka yang tidak menghormati mandat rakyat dan memperdagangkan jawatan Ahli Parlimen mereka untuk jawatan. Apakah itu sesuatu yang bermoral pada kaca mata Tun Hamid?

Dan beberapa lagi yang dilantik dalam PPBM juga begitu. Mereka menang atas tiket UMNO tetapi memilih jawatan dari wibawa. Apakah ini kepimpinan Melayu yang Tun Hamid absahkan.

Malah ada dikalangan mereka yang terpalit dengan skandal yang menjijikkan tetapi masih dilindungi dan diberikan tempat dalam kerajaan. Disebalik janji untuk kerajaan yang bersih dan berintegriti.

Kerajaan hanya akan disegani dan diyakini dengan wibawa kabinetnya. UMNO hanya melakukan tugas moralnya sebagai parti politik untuk menuntut representasi yang strategik dengan sumbangannya dan setelah memperkirakan keupayaan dan pengalamannya dalam melestarikan kepentingan bangsa Melayu.

Tun Hamid berhak atas pandangannya. Saya sangat menghormati. Tetapi UMNO tidak akan menikus sebagai parti politik apatah lagi sebagai suara orang Melayu.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin adalah  Naib Presiden UMNO

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button