AgamaNegeri

Tenaga pengajar agama sembrono tidak dialu-alukan – Raja Perlis

“TENAGA-tenaga pengajar yang sembrono dalam menyampaikan pengajaran agama, menggunakan dalil-dalil yang lemah, menggunakan kata-kata kesat, sengaja menimbulkan perpecahan dalam masyarakat adalah tidak dialu-alukan di negeri ini.

“Demikian juga mereka yang tidak menghormati pegangan agama yang termaktub dalam undang-undang tubuh Negeri Perlis.”

Demikian titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Batu 5, Jalan Kuala Perlis malam tadi.

Perasmian masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diisi dengan forum khas untuk jemaah yang hadir. – Gambar Ihsan Jabatan Penerangan Perlis.

Baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada agensi-agensi agama Islam Negeri Perlis yang diterajui Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) kerana dapat mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan negeri, persekutuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menjayakan majlis perasmian masjid ini sempena Ulangtahun Keputeraan Baginda ke-79.

Berkenan hadir Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Ruzaini Rais.

Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Batu 5, Jalan Kuala Perlis.

“Konsisten dengan amanat beta sebelum ini berhubung dengan jentera pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan yang berkhidmat di negeri Perlis mestilah berusaha memahami dan beramal dengan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah,” titah baginda.

Sehubungan itu, titah baginda, masjid juga perlu menyediakan pengajian yang seimbang dengan memberikan penekanan dan penerapan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

“Malah sentiasa mendidik masyarakat beramal dengan sunnah, dan dalam masa yang sama masjid mestilah dijauhkan daripada kancah politik kepartian serta menjauhi isu-isu sensitif yang menimbulkan kegusaran awam,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah, bagi memastikan kualiti penyampaian guru-guru agama di masjid-masjid negeri Perlis dapat ditingkatkan, semua guru agama mestilah mendapat tauliah mengajar yang dikeluarkan melalui Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Titah baginda, masjid-masjid di negeri Perlis juga hendaklah diperkasakan agar dapat mensyiarkan kualiti pentadbiran yang cekap dan efisien.

“Lantaran itu, pelantikan (Ahli Jawatankuasa) AJK dan pegawai masjid mestilah berasaskan kelayakan, profesional dan berintegriti serta kompeten dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan,” titah baginda.

Titah baginda, Islam dan ajarannya adalah agama fitrah di mana Ia mementingkan umatnya agar turut sama menjaga keseimbangan alam.

“Justeru masjid-masjid hendaklah melaksanakan dasar mesra alam,” titah baginda.

Titah baginda lagi, ia bermula dengan pembudayaan penjimatan air dan tenaga kepada pemuliharaan fauna dengan landskap yang menarik serta mengamalkan kitar semula sumber dan tenaga.

“Oleh itu, Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ini diharapkan menjadi masjid pertama dalam Negeri Perlis ke arah matlamat tersebut,” titah baginda. – SM

(Visited 346 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button