Politik

UMNO Sabah tidak laku: Abdul Latiff didesak letak jawatan

PERGERAKAN Pemuda UMNO Malaysia memandang serius video tular kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang menyifatkan UMNO Sabah sebagai sebuah parti yang tidak laku.

Menurut ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, kenyataan biadab dan angkuh itu tidak harus diungkapkan oleh seorang yang sudah berstatus menteri.

Ini lebih-lebih lagi, Abdul Latiff merupakan anggota Kabinet dalam sebuah Kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk hasil kerjasama gabungan parti-parti politik terutamanya UMNO sebagai rakan komponen terbesar.

Asyraf Wajdi berkata, kenyataan Abdul Latiff menghiris perasaan ahli UMNO dan beliau mendesak Ahli Parlimen Ahli Parlimen Mersing itu agar meletakkan jawatan.

“Lebih menghiris lagi apabila kenyataan yang berupa penghinaan sebegitu diluahkan oleh seorang pengkhianat parti yang lari dan terjun meninggalkan bahtera UMNO di saat badai besar melanda, sedangkan bahtera inilah yang pernah mengangkat beliau sebagai Ahli Parlimen Mersing,” kata Asyraf Wajdi,

“Justeru, demi maruah UMNO dan mengekalkan keharmonian dan penghormatan parti-parti yang berkerjasama dalam Kerajaan Perikatan Nasional, Pemuda UMNO bertegas agar Datuk Latiff segera meletakkan jawatan selaku Menteri Kabinet!

” Pemuda UMNO tidak sesekali merelakan maruah parti terus dicabuli buat kali kedua dengan kata nista berupa penghinaan setelah perilaku pengkhianatan ke atas parti ini cuba kami kompromi,” kata Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan.

Dalam video yang viral di media sosial bekas Ketua Bahagian UMNO Mersing itu berkata, UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya yang telah menyertai Bersatu.

“Saya orang yang melompat, teruk juga saya kena kutuk. Biasa la tu. Kalau tak nak tak payah masuk politik. Saya tak ada Facebook, Instagram, Twitter jadi orang tak boleh hentam saya. Kalau dia hentam saya pun saya tak tahu, sebab saya tak ada.

“Orang Sabah dia tak panggil lompat. Dia kata hijrah. Biasa. Daripada Berjaya pergi ke USNO, Berjaya pergi PBS, PBS pergi UMNO, UMNO sekarang ini tak laku lagilah. UMNO di Sabahlah. Itu realitinya. Kerana orang sudah tidak yakin. Semua orang dia dah lompat, dia hijrah ke Bersatu,” kata Abdul Latif dalam video itu.

Abdul Latiff antara enam ahli Parlimen UMNO yang keluar daripada parti itu dan menyertai Bersatu pada 12 Februari tahun lalu selepas Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.-SM

(Visited 225 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button