BeritaNasional

Wang simpanan warga emas lesap

LAGI mangsa sindiket Macau Scam.

Seorang warga emas di Batu Gajah, Perak kerugian lebih RM260,000 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kehilangan wang simpanan berjumlah RM265,368 itu hanya disedari selepas lelaki itu mengemaskini dua akaun banknya di Batu Gajah dan Pusing, pada 7 Januari lepas.

Beliau berkata, penipuan itu bermula pada kira-kira pukul 4 petang 19 Disember lalu apabila warga emas berumur 78 tahun dari Sungai Durian, Tanjung Tualang itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali.

“Lelaki itu memberitahu bahawa warga emas berkenaan mempunyai barang dari pejabat pos Kota Kinabalu yang dikirimkan kepadanya, dan mendakwa polis Sabah menyita barang berkenaan selepas mendapati terdapat banyak kad kredit palsu didalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, warga emas itu kemudiannnya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai Sarjan Wong yang menggunakan nombor telefon +89082245522, dan bertanya mengenai wang serta akaunnya, sebelum mengarahkan dia memindahkan kesemua wangnya bagi tujuan siasatan.

Adnan berkata, siasatan polis mendapati semua wang dalam dua akaun bank milik warga emas itu dikeluarkan menerusi 24 transaksi antara 30 Disember dan 3 Januari lepas, membabitkan wang berjumlah RM265,368.

Orang ramai dinasihati supaya tidak melayan sebarang panggilan telefon yang mencurigakan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button