Belang BertempatPolitik

UMNO perlu benar-benar berubah jika mahu kekal relevan

BUKAN dengan hanya melakukan jajaran politik baharu. Tidak cukup dengan hanya meremajakan parti. Lebih daripada itu UMNO sendiri perlu berubah.

Jika parti itu gagal berubah, ia akan menjadi semakin tidak relevan dan orang Melayu yang selama ini menjadi tonggak sokongan, akan memilih parti lain yang sesuai dengan keadaan semasa.

Masyarakat tidak mahu sebuah parti yang diuruskan hak milik peribadi tertentu, dan terpisah daripada masyarakat.

UMNO yang asalnya sebuah parti yang sangat dekat rakyat, tetapi semakin jauh tersasar daripada perjuangan asalnya.

Bahkan pemimpin berketurunan Cina dari DAP yang selama ini dianggap cauvanis dan anti-Melayu, kini kelihatan lebih ikhlas berbanding kebanyakan pemimpin UMNO.

UMNO terutama pemimpin atasannya perlu sedar kekalahan pada pilihan raya lalu berpunca daripada kumulatif rasa tidak yakin dengan perjuangan parti itu untuk rakyat, tetapi lebih kepada menjayakan kelompok bangsawan di dalam parti.

Pemimpin di peringkat bahawan juga tidak kurang berlumba-lumba untuk mencapai cita-cita peribadi masing-masing seperti pemimpin atasan, hingga melupakan tujuan asal mereka terjun ke dalam dunia politik serta melayari bahtera UMNO.

Sepanjang hayat UMNO begitu ramai pemimpin yang dipecat dan digantung keahlian dengan tuduhan yang tidak jelas. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat, Datuk Lokman Adam dipecat dan terbaharu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz digantung enam tahun keahlian.

Apabila mendengar penjelasan bahawa hukuman itu adalah berasaskan tajuk berita sebuah akhbar yang tidak tepat, ia jelas menunjukkan UMNO belum lagi berubah.

Tajuk berita: Presiden hilang kredibiliti. Sedangkan kenyataan Tun Faisal bahawa presiden berdepan dengan krisis kredibiliti.

Berdasarkan tajuk itu Tun Faisal dituduh menfitnah, mengkritik, mengkeji dan mencela presiden.

Sejak bila pula presiden terlalu suci sehingga tidak boleh ditegur sama sekali, sedangkan beliau juga manusia biasa yang terdedah kepada kesilapan dan menjadi tanggungjawab pemimpin dan ahli untuk menegurnya.

Teguran secara tertutup tidak didengari, maka teguran secara terbuka terpaksa dilakukan dan ia dibuat bukan bertujuan menjatuhkan presiden, tetapi demi kebaikan parti.

Kritikan tersebut juga berdasarkan kepada surat sokongan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.

Zahid bagaimanapun menafikan telah menulis dan menandatangani surat berkenaan. Dan setakat ini perkara itu tidak disiasat oleh parti bagi mengesahkannya.

Tanpa pengesahan berkenaan, hukuman terhadap Tun Faisal juga adalah tidak sah, kerana beliau hanya menggesa surat berkenaan disiasat kerana berdasarkan maklumat dikumpul beliau surat tersebut adalah tulen.

Tertuduh juga mengkritik presiden sebagai mengkhianati parti, jika surat berkenaan tulen. Jadi pemberatnya terletak kepada surat tersebut.

UMNO khususnya lembaga disiplin tidak seharusnya menjatuhkan hukuman hanya berdasarkan tajuk berita, kerana tidak menunjukkan kebijaksanaan dalam menguruskan parti.

Kesamaran itu tidak seharusnya dibiarkan berlarutan, kerana rakyat kini sangat kritikal terhadap sesuatu isu. Jika ia tidak diperjelaskan ia akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap UMNO.

Faktor kemelut bahagian juga tidak harus diketepikan dalam pertuduhan terhadap Tun Faisal.

(Visited 516 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button