Politik

UMNO-Pas rugi daftar Perikatan Nasional, undi Melayu pecah lima – Nur Jazlan

UMNO dan Pas akan rugi dengan undi Melayu berpecah lima pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) jika Perikatan Nasional (PN) didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi.

Kebimbangan itu dibangkitkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan mengambil kira kedudukan majoriti tipis kerajaan PN turut disertai Parti BERSATU sekarang, 114-108 – yang boleh tumbang bila-bila masa sahaja.

Menarik perhatian situasi politik di Johor sekiranya berlaku PRU mengejut (snap election), kata beliau, UMNO berdepan cabaran getir dengan peluang menang ’50-50’ kerana di negeri itu banyak kerusi marginal.

“Antaranya kerusi-kerusi Parlimen Tebrau, Pasir Gudang dan Pulai sekali gus memberi ruang kepada DAP yang juga musuh UMNO untuk memainkan sentimen menarik pengundi kaum tertentu.

“Justeru kalau PN didaftarkan sebagai gabungan rasmi dan diputuskan pengagihan kerusi (pada PRU-15), maka UMNO dan Pas tidak boleh maksimumkan jumlah calon, kerusi masing-masing dan seterusnya memanfaatkan sokongan undi orang Melayu.

“Musuh UMNO di Johor bukannya BERSATU tetapi PH iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah.

“Situasi ini sama gambarannya di negeri-negeri lain. Undi orang Melayu kelak bukan saja berpecah kepada tiga parti (UMNO, PAS, BERSATU) malah lima juga dengan `disahut’ PKR dan Parti Amanah,” kata beliau kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Menurut Nur Jazlan, bukan PN sebaliknya Muafakat Nasional (MN) dianggotai UMNO-Pas adalah platform terbaik untuk PAS khususnya dalam memaksimumkan sokongan undi Melayu dan kerusi-kerusi ditandinginya nanti.

“MN adalah potensi untuk UMNO dan PAS menang banyak kerusi dalam PRU-15 nanti,” katanya.

Sebab itu, tegas Nur Jazlan, memorandum persefahaman (MOU) untuk membentuk PN yang dikatakan akan dimeterai hanya perlu dalam bentuk `kerjasama’, bukannya penubuhan gabungan itu secara rasmi.

“Kita (UMNO) bersedia terima Tan Sri Muhyiddin masuk UMNO tetapi untuk pemimpin-pemimpin BERSATU yang lain jika hendak sertai mestilah tanpa syarat iaitu bukan kerana hendak jadi calon (pilihan raya) atau ketua bahagian. Sebabnya kerana BERSATU tidak ada grassroot pun,” kata beliau.

Pada PRU-14 tempoh hari, BN yang ditunjangi UMNO tumbang selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi Parlimen yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13.

UMNO sendiri pula hilang 34 kerusi apabila hanya menang 54 kerusi berbanding 88 kerusi pada PRU sebelumnya.

Di Johor, negeri yang melahirkan UMNO, tetapi kalah mengejut 9 Mei 2018 sekadar mengaut 19 daripada 56 kerusi DUN.

Bagaimanapun hasil MN, UMNO-PAS berjaya secara berdikit-dikit memecahkan dominasi PH pasca PRU-14 terutama dalam lima pilihan raya kecil (PRK) terakhir yang dimenangi permuafakatan dua parti Melayu terbesar itu. – SM

(Visited 383 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button