Politik

UMNO Ketereh minta PM segera lantik TPM dari BN

UMNO Bahagian Ketereh meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin supaya segera melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari kalangan pemimpin Barisan Nasional dengan segera.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan pendirian UMNO Bahagian Keterah yang serahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu surat bertarikh 19 Mac 2021.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa pendirian itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bahagian UMNO Ketereh pada 18 Mac lalu.

“Mesyuarat antara lain membincangkan pendirian rasmi UMNO Ketereh berhubung perkara semasa.

“Mesyuarat mengambil keputusan untuk menyatakan pendirian Ketereh secara bertulis dan menghantarnya terus kepada Presiden parti,” kata Annuar.


Selain mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang baharu, UMNO Ketereh turut mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

UMNO Bahagian Ketereh turut mencadangkan supaya Barisan Nasional dan Perikatan Nasional supaya memulakan rundingan kerusi berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurutnya Barisan Nasional dan Perikatan Nasional perlu berusaha membentuk gabungan yang kuat untuk menentang Pakatan Harapan dalam PRU-15 nanti.

UMNO Bahagian Ketereh turut meminta kepimpinan parti supaya terus fokus dan memberi keutamaan kepada agenda kestabilan politik, memerangi Covid-19, membela rakyat dan memulihara ekonomi negara.-SM

(Visited 210 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button