Politik

UMNO Kelantan bimbang campur tangan pemilihan UMNO – Ahmad Jazlan

UMNO Kelantan berpendirian tegas agar jawatan Presiden parti tidak wajar dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan
Yaakub.

Menurutnya, pendirian itu bukan mahu membunuh demokrasi yang diamalkan sejak parti itu wujud namun kebimbangan kali ini adalah berkaitan campur tangan dari pihak luar yang dijangka berlaku.

Tegasnya, beliau tidak menolak akan ada campur tangan dari pihak luar parti yang bukan mahu melemahkan tetapi sebaliknya mahu membunuh parti.

Beliau berkata, kalau pemilihan parti kali ini dipengaruhi pihak luar untuk menaja mana-mana pihak sudah tentu akibatnya amat buruk selepas dua kali pilihan raya parti mengalami kekalahan.

“Saya yakin pasti akan ada campurtangan luar dan saya lihat bagaimana Pas boleh bercakap, bagaimana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh bercakap tunggulah enam bulan lagi kita
akan jadi kerajaan balik.


“Bagaimana nak jadi kerajaan balik jika tidak ada sokongan daripada mana-mana parti politik yang boleh mencukupkan mereka boleh jadi kerajaan balik. Apa maknanya ini?

“Cukup jelas ini adalah gambaran secara tersiratnya sudah ada pihak luar yang akan campur tangan di dalam soal ini. Bagi saya institusi Presiden bukan atas mana-mana presiden perlu dijaga demi
menjaga kekuatan parti,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai ucapan dasar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan soal pemilihan parti khususnya jawatan Presiden dan Timbalan
Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Mengulas lanjut Ahmad Jazlan berkata, beliau tidak mahu peristiwa hitam melanda parti lagi sewaktu perebutan jawatan Presiden pada 1988 yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad menyebabkan
Kelantan tumbang kepada pembangkang hingga kini.

Justeru beliau berkata, apa yang berlaku hari ini adalah untuk memperkasa dan memperkuatkan parti kembali.

“Tetapi adakah dengan cara pemilihan terutama di peringkat Presiden ini ia akan memperkuatkan parti?. Jika tidak ada campur tangan pihak luar ia tidak ada masalah,” ujarnya lagi.- SM

(Visited 283 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button